“Petaling Street Tak Pernah Jual Daging Kucing, Kedai Dah Tutup 3 Tahun Lalu” – Penduduk Sekitar
Menurut seorang wanita tempatan di kawasan tersebut, kucing yang berada di dalam sangkar seperti di dalam foto yang ditularkan itu juga adalah haiwan peliharaan pemilik kedai itu, ianya tidak dijual.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai dakwaan seorang jurugambar dari United Kingdom (UK) yang kononnya terdapat sebuah gerai di Petaling Street, Kuala Lumpur yang menjual daging kucing.
Bagaimanapun, terdapat ramai pengguna media sosial yang meragui kenyataan jurugambar itu kerana menerusi gambar yang dikongsikan oleh lelaki terbabit, ia hanya kelihatan seperti daging khinzir dan bukannya kucing.
Lebih mencurigakan, kapsyen yang ditulis oleh jurugambar yang dikenali sebagai Ragib Choudhur telahpun dipadam dan ditukar menjadi begitu ringkas yang hanya tertera, “KL, 22 Jun 2018”.
Tinjauan BuzzKini dapati kedai sudah lama ditutup
BuzzKini berkesempatan hari ini (8 Februari) untuk ke lokasi tersebut yang terletak di dalam pasar basah di Petaling Street.
Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati kedai yang diperkatakan oleh jurugambar itu tidak lagi beroperasi.
Wanita dakwa kedai tersebut telah tutup sejak 3 tahun lalu
Menurut seorang wanita tempatan yang kami temui di kawasan terbabit, kedai yang ditularkan itu telahpun tutup sejak tiga tahun yang lalu.
Ditanya mengenai dakwaan menjual daging kucing pula, wanita tersebut menyatakan bahawa kedai itu hanya menjual daging babi.
Kucing di dalam sangkar merupakan haiwan peliharaan pemilik kedai, bukan dijual
Menurut wanita itu lagi, kucing yang berada di dalam sangkar seperti di dalam foto yang ditularkan itu juga adalah haiwan peliharaan pemilik kedai itu dan ianya tidak dijual.
Jelasnya, kedai-kedai di pasar Petaling Street juga tidak pernah menjual daging kucing, sebaliknya hanyalah daging khinzir, lembu, ayam dan ikan.
“Kedai ini dah tutup tiga tahun lalu, dia hanya jual daging khinzir, di Petaling Street tidak pernah ada kedai yang menjual daging kucing,” katanya.
Perkara tersebut turut disahkan oleh seorang lagi peniaga yang menjual daging khinzir di pasar berkenaan semasa ditemui kami.
Terdapat juga dakwaan yang mengatakan bahawa kawasan tersebut telahpun dilawati oleh pihak polis. Namun, setakat artikel ini ditulis tiada pengesahan mengenai perkara itu daripada pihak polis
Kami sudah cuba menghubungi Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dan masih lagi menunggu respon balas daripada beliau.
Terdahulu, gambar yang dimuat naik Choudhur di akaun Instagram miliknya @iragib telah mencetuskan perdebatan hangat di media sosial di mana ada yang meraguinya dan ada juga yang meminta pihak berkuasa melakukan siasatan dengan segera.
Baca Artikel Berkaitan: