fbpx

“Kubur Lama Sudah Dipindahkan” – Projek Pembinaan Jabatan Marang Diteruskan, Tiada Lagi Gangguan Mistik [Video]

Sebelum ini, pekerja tapak pembinaan itu mendakwa jentera yang digunakan bagi kerja pembersihan sering rosak selain atap yang telah dibawa turun naik semula ke atas bumbung secara misteri.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Beberapa minggu lalu, tular di media sosial kisah sebuah kawasan pembinaan jabatan di Marang, Terengganu dikatakan mempunyai gangguan mistik sehingga mengganggu kerja-kerja pembinaan.

Susulan daripada kejadian terbabit, projek pembinaan jabatan itu terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

Menerusi beberapa kisah yang dikongsikan di media sosial, kawasan pembinaan yang berdekatan dengan tapak bekas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang berhampiran Sungai Marang itu dikatakan mempunyai ‘penunggu’.

Projek jabatan Marang kembali berjalan seperti biasa, sudah dipulih dari gangguan misteri

Bagaimanapun, kini projek pembinaan jabatan baru Sungai Marang sepanjang 2.5 kilometer yang dijangka siap pada Jun 2025 itu telah berjalan seperti biasa semula selepas seorang ustaz membantu memulihkan semula kawasan itu daripada diganggu entiti.

Tinjauan Harian Metro di kawasan berkenaan mendapati kerja-kerja pembersihan sudah dilakukan termasuk memindahkan kira-kira 40 kubur lama yang ditemui di situ.

Pekerja-pekerja tapak pembinaan di sana mendakwa, mereka tidak dapat melakukan kerja pembersihan di kawasan itu sebelum ini kerana dikatakan terdapat banyak ‘halangan’.

Jentera rosak bila digunakan dan atap naik semula ke atas bumbung secara misteri

Ujar mereka, jentera yang digunakan dalam kerja pembersihan sering rosak selain atap yang telah dibawa turun naik semula ke atas secara misteri.

“Jentera yang digunakan untuk kerja pembersihan kerap rosak dan bila dihantar untuk dibaiki didapati tiada kerosakan, atap sebelah siang kita bawa turun, esoknya ada atas balik, tersusun seperti asal. Memang tidak boleh buat kerja.

“Alhamdulillah selepas usaha dilakukan seorang ustaz, kawasan ini sudah pulih daripada entiti mistik dan kerja pembinaan kini sudah berjalan lancar.

“Kawasan semak sudah dibersihkan termasuk memindahkan beberapa kubur lama, cuma bangunan saja belum dapat dirobohkan, bukan kerana gangguan mistik tetapi beberapa sebab lain kerana ia masih hak milik kerajaan.

“Justeru itu, saya berharap orang ramai tidak lagi mengaitkan kawasan balai ini dengan cerita-cerita misteri kerana kawasan ini sudah aman dan kerja-kerja pembinaan pun sudah berjalan seperti biasa,” katanya dipetik Harian Metro semalam (17 Oktober).

Kawasan tersebut suatu ketika dulu adalah tanah perkuburan lama

Mencerita kisah mistik yang didakwa berlaku di kawasan balai berkenaan, seorang penduduk yang dikenali Abu Bakar Abd Ghani berumur 66 tahun berkata, kawasan itu suatu ketika dulu adalah tanah perkuburan lama.

Menurutnya, sebahagian kubur sudah dipindahkan selepas kerajaan mahu membina jalan dan jambatan di kawasan itu.

Entiti mistik ada kaitan dengan seorang bomoh pemuja jin

Menurutnya lagi, selain itu entiti mistik yang berlaku didakwa ada kaitan dengan seorang bomoh pemuja jin yang tinggal bersebelahan balai berkenaan.

“Sebenarnya polis tahu aktiviti bomoh berkenaan tetapi tidak boleh menangkapnya kerana kawasan itu sudah ‘dikawal’ dengan aktiviti pemujaan.

“Bomoh terbabit dikatakan menanam tengkorak manusia yang dibalut dengan kain kuning di kawasan pintu masuk balai bertujuan untuk mengawal seluruh kawasan berkenaan,” katanya lagi.

Jelas Abu Bakar yang juga seorang pesara tentera, bomoh terbabit difahamkan memuja jin dan sihir yang bertentangan dengan agama Islam.

“Dia (bomoh) berasal dari Siam (Thailand) dan mempelajari ilmu berkenaan daripada bapa angkat di Siam sebelum masuk ke sini (Terengganu) dan memeluk Islam.

“Ketika masuk dulu (Terengganu) dia tinggal di Besut kemudian pindah ke Batu Rakit selepas penduduk kampung menghalaunya selepas kerja bomoh yang dilakukan terbongkar sebelum menetap di sini (Marang).

“Arwah bapa pernah memberitahu saya terdapat tengkorak manusia yang dibalut dengan kain kuning dan rangka lengan budak yang diletakkan dalam buluh dalam rumahnya,” katanya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.