fbpx
Now Reading
Pekerja di Malaysia Berisiko Terdedah Dengan Masalah Penglihatan & Buta

Pekerja di Malaysia Berisiko Terdedah Dengan Masalah Penglihatan & Buta

Menurut Pensyarah dan Pakar Perunding Kanan Jabatan Oftalmologi Fakulti Perubatan UKM, risiko kecederaan mata di tempat kerja adalah tinggi terutamanya buat pekerja di kawasan industri.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Mata merupakan antara anggota badan yang penting buat manusia. Ia berfungsi memberikan visual dan maklumat tentang keadaan sekeliling melalui penglihatan.

Sekiranya individu mengalami masalah gangguan penglihatan, ia akan memberi kesan kepada seseorang dalam menjalankan aktiviti harian.

Ramai Pekerja Berisiko Mengalami Masalah Penglihatan & Kebutaan

Menurut Pensyarah dan Pakar Perunding Kanan Jabatan Oftalmologi Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Jemaima Che Hamzah, semakin ramai rakyat Malaysia yang terdedah dengan gangguan penglihatan dan risiko kebutaan di tempat kerja.

Tambah beliau, kecederaan mata di tempat kerja adalah tinggi terutamanya buat mereka yang bekerja di kawasan industri.

“Kecederaan yang lazim berpunca daripada habuk persekitaran seperti debu, besi, bahan kimia, cahaya kimpalan, percikan bahan kimia dan objek terpelanting ke dalam mata,” kata beliau.

Malah, penggunaan telefon pintar dan komputer bagi tempoh yang lama juga boleh menyebabkan individu itu mengalami gejala seperti mata kering, sakit kepala atau sindrom penglihatan komputer.

“Walaupun bekerja di pejabat, risiko gangguan penglihatan atau kebutaan tetap boleh berlaku.

“Jika tidak ada langkah kawalan, dikhuatiri individu itu akan mengalami kerosakan mata yang teruk,” kata beliau lagi.

Tahap kecederaan penglihatan individu pula bergantung kepada kadar keseriusan dan tempoh tindakan segera yang diambil.

Saran Pekerja Memakai Perlindungan Untuk Mata

Bagi mengelakkan masalah penglihatan menjadi lebih serius, Jemaima menyarankan agar pekerja menggunakan pelindung mata ketika bertugas.

Malah, beliau turut memberikan contoh di Amerika Syarikat apabila sebanyak 200,000 pekerja direkodkan mendapat kecederaan mata pada setiap hari dan lebih 800,000 dilaporkan terjadi pada setiap tahun.

“Antara perkara yang disyorkan adalah memakai pelindung mata untuk melindungi mata pekerja daripada terdedah kepada bahaya.

“Sayang sekali kerana ramai pekerja yang enggan memakai alat pelindung mata. Mereka berasa tidak selesa dan menganggap penggunaan alat itu tersebut tidak perlu walaupun diberikan oleh majikan,” ujar beliau.

Berdasarkan Bancian Mata Kebangsaan 2014, gangguan penglihatan dan kebutaan di Malaysia berpunca daripada katarak (58.6%), retinopati diabetik (10.4%) dan glaucoma (6.6%).

Tambah beliau, masalah penglihatan di dunia menunjukkan peningkatan ketara terutama dalam kalangan rakyat Malaysia disebabkan peningkatan populasi warga emas.

“Masalah kehilangan penglihatan adalah masalah sejagat. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang diterbitkan pada Oktober 2019, terdapat sekurang-kurangnya 2.2 bilion orang di dunia yang mengalami gangguan penglihatan atau buta, di mana sekurang-kurangnya 1 bilion mengalami gangguan penglihatan yang boleh dicegah atau belum sempat ditangani,” ujar beliau lagi.

Baca Artikel Berkaitan: Nak Pecahkan Rekod Dunia Punya Pasal, Lelaki Di Nigeria Buta Sementara Kerana Menangis 7 Hari Tanpa Henti

Baca Artikel Berkaitan: Obses Pakai Lens, Gadis Kongsi Detik Cemas ‘Buta Sementara’ Akibat Mata Dijangkiti Kuman

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.