“Bukan Tidak Pertahan Siti Mastura, Tempoh Dua Hari Tidak Cukup” – PAS
Terdahulu, Siti Mastura didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan Lim Guan Eng dan Chin Peng ketika ucapannya dalam Himpunan Jentera Muslimat dan Ameerah di Kemaman, Terengganu pada 4 November yang lalu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada minggu lalu, hangat diperkatakan di media sosial berhubung dakwaan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang Dr. Siti Mastura Muhammad mengaitkan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng dan bapanya Lim Kit Siang dengan Pemimpin Komunis, Chin Peng.
Ekoran daripada itu, Guan Eng memberi tempoh dua hari kepada Siti Mastura untuk mengemukakan bukti yang mengukuhkan lagi dakwaannya itu sebelum tindakan undang-undang diambil terhadapnya.
Namun, Siti Mastura hanya berdiam diri dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan walaupun tempoh dua hari yang diberikan oleh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu telah tamat.
Guan Eng kemudian telah mengambil tindakan dengan melantik Datuk Sankara Narayanan sebagai peguam bagi memulakan prosiding undang-undang terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas itu.
Anggap Tempoh Dua Hari Terlalu Singkat
Terbaharu, PAS mendakwa tidak mempunyai masa yang cukup untuk mempertahankan Siti Mastura sebelum tindakan undang-undang diambil oleh bekas Menteri Kewangan itu.
Menurut Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari, tempoh dua hari yang diberikan terlalu singkat bagi mereka untuk mendapatkan keterangan daripada Siti Mastura.
Keadaan ini menyebabkan mereka tidak mempunyai pilihan selain hanya membiarkan perkara tersebut sementara waktu.
Malah, Fadhli yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas itu enggan mengulas kenyataan wanita itu berhubung dakwaan yang dibuat dan hanya menyerahkan kepada pihak berkuasa.
“Perkara ini sudah pun sampai ke peringkat perundangan. Oleh itu, pihak di luar sana mengapa sibuk pertikai soal pertahan atau tidak ini? Ramai sahaja pemimpin dari parti politik kerajaan pun tidak menyokong kerajaan.
“Kami bukannya tidak mempertahankan wakil rakyat kami tetapi sejak mula sidang akhbar Guan Eng, masa yang diberi tidak panjang. Sedangkan kami kena dapatkan bukti rakaman untuk tahu isu sebenar yang berlaku.
“Apa rasionalnya DAP beri masa 48 jam sahaja? Bayangkanlah bagaimana kami cuba pertahankan Siti Mastura? Jadi, tidak perlu untuk pertahan atau tidak melainkan perkara ini tidak dibawa ke peringkat undang-undang,” katanya yang dipetik dari Utusan Malaysia.
Terdahulu, media melaporkan kenyataan daripada Exco Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Azhar Rahman bahawa Pas tidak sepatutnya membiarkan Siti Mastura kelihatan dungu dan berdiam diri berhubung dakwaannya terhadap Guan Eng.
Menurut Azhar, sejak ucapan Siti Mastura tular di media, tiada seorang pemimpin Pas membelanya untuk mempertahankan dakwaan tersebut.
Siti Mastura didakwa mengeluarkan kenyataan yang berbaur fitnah itu ketika ucapannya dalam Himpunan Jentera Muslimat dan Ameerah di Kemaman, Terengganu pada 4 November yang lalu.
Baca Artikel Berkaitan: Dituduh Ada Hubungan Keluarga Dengan Chin Peng, Guan Eng Beri 2 Hari Kepada Mastura Kemuka Bukti
Baca Artikel Berkaitan: Lim Guan Eng Lantik Peguam, Mula Ambil Tindakan Terhadap Siti Mastura