fbpx
Now Reading
Tarif Air Di Perak Naik, Menteri Besar Beri Jaminan Tak Akan Bebankan Rakyat

Tarif Air Di Perak Naik, Menteri Besar Beri Jaminan Tak Akan Bebankan Rakyat

Menurut Saarani, ketika ini kerajaan negeri Perak belum membuat ketetapan berapa peratusan kenaikan kadar tarif air baharu itu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kerajaan negeri Perak akan menaikkan kadar tarif air selaras dengan usaha kerajaan untuk melakukan semakan semula industri perkhidmatan bekalan air di Malaysia.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kenaikan tersebut adalah perlu memandangkan ia sudah 30 tahun tidak disemak.

Kerajaan negeri akan pastikan kenaikan tarif air tidak bebankan rakyat

Bagaimanapun kerajaan negeri akan memastikan kenaikan kadar tarif air itu tidak akan memberi bebanan kepada rakyat.

“Kita akan berlaku adil terhadap kedua-dua pihak iaitu pengguna dan operator sebab dalam hal ini, operator juga memerlukan wang untuk menguruskan bekalan air di negeri.

“Jadi kita tidak akan membebankan rakyat, memadai kita akan cuba sedaya upaya untuk berlaku adil kepada kedua-dua pihak,” katanya dipetik Sinar Harian.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga telah diberikan taklimat daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada Mesyuarat Exco semalam (22 November) mengenai dasar air negara dan semakan semula tarif air untuk seluruh negara.

Kerajaan negeri belum buat ketetapan peratusan kenaikan kadar tarif air baharu

Jelas Saarani, ketika ini kerajaan negeri Perak belum membuat ketetapan peratusan kenaikan kadar tarif air baharu itu.

“Ketetapan di setiap negeri ini berbeza-beza, jadi kita akan buat kajian terlebih dahulu untuk melihat berapa kadar kenaikan yang perlu,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan tarif air domestik di semua negeri akan disemak bermula awal tahun hadapan.

Kenaikan tarif bagi menampung kos operasi pengurusan bekalan air

Semakan tersebut dijangka akan menyebabkan kenaikan kadar tarif bagi menampung kos operasi yang kini tidak lagi mampu ditanggung oleh operator yang menguruskan bekalan air di setiap negeri.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi berkata, semakan tarif air tersebut telah dipersetujui oleh semua kerajaan negeri.

Untuk info, tarif air yang dikenakan kepada pengguna domestik di Perak pada ketika ini adalah RM0.30 bagi penggunaan kosong hingga 10 meter padu, RM0.70 (11-20 meter padu) dan RM1.03 bagi penggunaan melebihi 20 meter padu.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.