Jangan Masuk Islam Macam Masuk Pawagam, Kata Mufti Pulau Pinang
Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang memberi kebenaran kepada seorang wanita berusia 21 tahun bagi mencabar kesahihan pemelukan Islam ketika dia masih di bawah umur.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui Islam merupakan agama rasmi di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Agama Islam adalah agama bagi persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Bagi kebanyakan individu dari agama lain, ada segelintir daripada mereka berminat dan memilih untuk memeluk agama Islam atas pelbagai faktor terutamanya mendapat hidayah.
Namun, ada juga segelintir yang terburu-buru dan tidak ikhlas dalam memeluk agama utama negara ini hingga sanggup memohon untuk keluar semula dari agama Islam.
Pastikan Individu Ikhlas & Serius Dengan Keputusan Memeluk Islam
Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menasihatkan agar pendaftar mualaf di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) tidak segera mendaftarkan permohonan individu yang mahu menukar agama kepada Islam.
Menurut beliau, JHEAINPP perlu memastikan individu itu ikhlas dan serius dengan keputusan tersebut.
Malah, beliau turut menyarankan agar setiap calon mualaf diwajibkan mengikuti kursus berpandukan modul daripada JHEAINPP sebelum secara rasminya didaftarkan untuk memeluk Islam.
“Saranan ini dibuat kepada Pendaftar Muallaf JHEAINPP secara khusus tetapi boleh juga jika jabatan agama Islam di negeri-negeri lain turut menambahbaik enakmen yang sama sebagai penyelarasan.
“Undang-undang berkaitan memeluk agama Islam perlu disemak semula untuk tujuan penambahbaikan. Bahagian IX dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang perlu diperkemaskan lagi supaya kelompongannya dapat diatasi,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Tidak Mahu Individu Permainkan Agama Islam
Tegas Wan Salim seseorang itu tidak sepatutnya mempermainkan agama ini seperti memasuki pawagam.
“Demi memelihara imej agama suci ini, kita tidak suka mana-mana individu memperkotak-katikkannya seolah-olah menyamakan pemelukan Islam dengan memasuki pawagam dan boleh keluar semula sesuka hati.
“Justeru, kita menasihatkan mana-mana orang bukan Islam yang ingin memeluk agama Islam supaya berfikir panjang.
“Tiada siapa yang memaksa kamu untuk menjadi seorang Muslim. Namun apabila kamu menerima Islam sebagai agama kamu, maka kamu wajib memeliharanya dengan kekal menjadi seorang Muslim yang taat sepanjang hayat,” jelasnya lagi.
Beliau menjelaskan sedemikian selepas mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang memberi kebenaran kepada seorang wanita yang berusia 21 tahun bagi mencabar kesahihan pemelukan Islam ketika dia masih di bawah umur.
Tambah beliau, isu ini perlu diberi perhatian oleh pihak berkaitan terutama dari Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan JHEAINPP.
Untuk info, wanita yang berasal dari Sabah itu dikatakan memeluk Islam ketika dia mahu berkahwin dengan teman lelakinya yang beragama Islam pada usia 17 tahun namun memutuskan hubungan itu beberapa bulan kemudian.
Malah, dia juga mahu mengisytiharkan Sijil Penukaran Agama bertarikh 11 Jun 2020 sebagai tidak sah serta membatalkan Kad Akuan Masuk Islam yang dikeluarkan oleh MAINPP.
Baca Artikel Berkaitan: Wanita AS Peluk Islam Lepas Pelajari Al-Quran Untuk Fahami Kekuatan Diri Rakyat Palestin
Baca Artikel Berkaitan: “Hebat Mak Kamu” – Kisah Mualaf ‘Muka Gangster’ Peluk Islam Direstui Ibu, Siap Teman Ke Masjid Undang Sebak [Video]