fbpx
Now Reading
Wai Loong Didakwa Semula, Mengaku Tidak Salah Buat Hantaran Jelik Berhubung Isu Stoking Kalimah Allah

Wai Loong Didakwa Semula, Mengaku Tidak Salah Buat Hantaran Jelik Berhubung Isu Stoking Kalimah Allah

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pagi tadi (18 April), Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 terhadap seorang bekas juruteknik aplikasi sosial, Wai Loong yang didakwa membuat hantaran jelik berkaitan isu stoking kalimah Allah.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Ahmad Bache selepas membenarkan semakan yang difailkan Wai Long, 34, selaku pemohon untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Suzana Hussin pada 22 Mac lalu.

Baca Artikel Berkaitan: “Saya Tidak Sengaja” – Lelaki Perlekeh Isu Stoking Kalimah Allah Dipenjara 6 Bulan & Denda RM12,000

Memetik Kosmo, Mahkamah Tinggi berpendapat, pengakuan salah dibuat Wai Loong sebelum ini adalah bukan akuan yang jelas dan tidak boleh diterima.

Wai Loong didakwa semula, buat pengakuan tidak bersalah

Bagaimanapun, terbaharu, Wai Loong yang didakwa semula pada petang hari sama membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan itu.

Dia membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula terhadapnya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

“Saya faham (pertuduhan), saya tidak mengaku salah,” katanya.

Buat dan mulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat sakitkan hati orang lain

Mengikut pertuduhan, Wai Loong didakwa memuat naik hantaran jelik di media sosial pada 18 Mac 2024 dengan niat untuk untuk menyakitkan hati orang lain, menggunakan nama profil ‘Chiok Wai Loong’.

Hantaran itu kemudiannya telah dibaca dan dilihat pada hari yang sama pukul 3 pagi di daerah Bricfields.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama.

Wai Loong boleh didenda tak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

“Syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak membuat hantaran hingga kes selesai perbicaraan,” kata Kalmizah.

Peguam Wai Loong mohon jaminan tidak lebih RM4,000

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Wai Loong, Latheefa Koya memohon jaminan tidak lebih RM4,000 dengan seorang penjamin dengan alasan anak guamnya kini tidak bekerja dan muflis.

“Anak guam memberi kerjasama penuh sejak mula dibawa dari mahkamah. Dia bankrap (muflis) dan tidak akan ke mana-mana,” kata Latheefa Koya.

Hakim Mahkamah Sesyen benarkan jaminan RM5,000 terhadap Wai Loong

Hakim Siti Aminah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin tanpa memberi sebarang syarat tambahan kepada tertuduh.

Tarikh 23 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Baca Artikel Berkaitan: Isu Stoking Kalimah Allah: Pengasas KK Mart Menghadap Agong Di Istana Negara Untuk Mohon Ampun

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.