Isu Ustaz Don & Siti Nurhaliza Duet Lagu Cindai Ada Selawat, Ini Respon Mufti Kelantan Serta Mufti Pulau Pinang
Menurut Mufti Pulau Pinang pula, berselawat dengan berlagu seperti diperdengarkan di media sosial dan juga platform lain bukanlah satu kesalahan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai satu video tular pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal dan penyanyi tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berduet mengalunkan gabungan lagu Cindai serta selawat.
Penularan video terbabit menjadi perbahasan hangat di media sosial memandangkan status Ustaz Don sebagai seorang pendakwah hingga ada yang tertanya-tanya apakah hukumnya di dalam Islam.
Ada pihak yang mengkritik teruk tindakan Ustaz Don dan ada juga yang berpandangan sebaliknya.
Tersebar video berkaitan ada agamawan berduet menyanyi secara terbuka dengan artis wanita. Pelbagai respon yang muncul.
— Tweet Islamik (@TweetIslamik) April 7, 2024
Ada ilmuan yang sebelum ini teguh dengan disiplin bermazhab Syafie pun turut membela perbuatan itu walaupun hakikatnya perbuatan itu bercanggah pic.twitter.com/qvsVy7RP2C
Perkara tersebut turut mendapat perhatian Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Selawat dilagukan adalah dibenarkan selagi tidak melekakan – Mufti Kelantan
Menurut Mohamad Shukri berkata, perkara itu dibenarkan selagi mana ia tidak melekakan memandangkan Islam tidak melarang selawat dilagukan dengan muzik termasuk lagu-lagu popular pada masa kini.
“Dia sebenarnya isu yang pokok adalah sama ada boleh ke tidak untuk bermuzik. Jadi ada pendapat kata muzik tak boleh, ada juga pendapat kata muzik boleh selagi ia tidak melekakan.
“Jadi sekarang saya rasa tak berbangkitlah (bukan isu) kalau selawat ini dia tidak pergi sehingga meleka-lekakan,” katanya dipetik Majoriti.
Amalan berselawat adalah satu ibadah
Menurutnya, secara asas dalam Islam, amalan berselawat adalah satu ibadah yang digalakkan.
“Jadi buatlah sesuatu mengikut cara ibadah. Jangan terkeluar daripada garis ibadah. Kalau nak jadi adat pun, biarlah ibadah itu tidak berlawanan dengan syarak,” katanya.
Digalakkan sekiranya dapat memperbanyakkan dan mengelak perasan malas berselawat – Mufti PP
Sementara itu, Wan Salim pula berkata adalah tidak salah untuk berselawat dengan berlagu seperti diperdengarkan di media sosial dan juga platform lain.
Jelas beliau lagi, amalan itu juga digalakkan sekirnya dapat membantu umat Islam ke arah memperbanyakkan selawat selain mengelak perasaan malas atau kepudaran semangat untuk berselawat.
“Para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah bersepakat hukum selawat ke atas Nabi Muhammad SAW adalah sunat muakkad yang tidak harus ditinggalkan oleh orang beriman.
“Antara lain, selawat boleh menjadi sebab diangkat darjat seseorang di sisi Allah SWT serta dikabulkan doanya. Ia juga menjadi sebab untuk mendapat syafaat Baginda pada hari kiamat, mendapat rahmat dan keampunan ALLAH SWT,” katanya.
Difahamkan, video gabungan selawat dan lagu Cindai itu telah dimuat naik sejak sebulan lalu namun ia baru mencetuskan perdebatan ramai sejak beberapa hari lalu.
Sekadar info, amalan berselawat ke atas Rasulullah SAW adalah satu amalan agung dan besar ganjarannya di sisi Allah SWT.