fbpx
Now Reading
Mufti Mohon Maaf Bukan Maksud Buat Salah, Cuma Adab Bila Beza Pandangan – Mufti Kelantan

Mufti Mohon Maaf Bukan Maksud Buat Salah, Cuma Adab Bila Beza Pandangan – Mufti Kelantan

Menurut Mohamad Shukri, beliau juga menyanjung tinggi pandangan masyarakat di media sosial terhadap institusi fatwa yang mana rata-ratanya bersetuju dengan pandangan mufti.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Permohonan maaf yang dilakukan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor terhadap Datuk Seri Siti Nurhaliza berhubung isu saranan agar konsert ditunda kerana menghampiri Ramadan bukanlah bermaksud kerana melakukan kesalahan.

Mufti Kelatan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ia sebaliknya menggambarkan bagaimana seseorang umat Islam berakhlak.

“Permohonan maaf Mufti Pulau Pinang bukan bermaksud sesuatu yang salah sudah dilakukan.

“Tetapi itu adalah satu gambaran bagaimana kita berakhlak, kita mempunyai adab kesopanan apabila pandangan kita berbeza dengan pandangan orang lain,” katanya dipetik Harian Metro.

Baca Artikel Berkaitan: Isu Saranan Tunda Konsert Siti Nurhaliza, Mufti Pulau Pinang Jelaskan Bukan Pertikai Niat Atau Tujuan

Minta maaf adalah perkara biasa tanda keikhlasan

Menurutnya, meminta maaf kepada seseorang merupakan perkara biasa apabila orang lain tidak boleh menerima pandangan yang diberikan.

Tegasnya lagi, permohonan maaf yang dilakukan oleh Wan Salim itu adalah tanda keikhlasan dan dianjurkan oleh akhlak Islam.

“Tidak semestinya kita bersalah. Itu adalah satu daripada akhlak dalam Islam untuk memperlihatkan bahawa kita beramal kepada akhlak Islam.

“Pandangan kita itu pada masa sama kita menghormati pandangan orang lain. Apabila kita beri pandangan barangkali ada yang tidak boleh diterima maka kita pohon maaf dan ia satu daripada langkah untuk meredakan isu ini.

“Tidak timbul isu sedihnya mufti pula perlu minta maaf, kena beri kefahaman kepada masyarakat. Pohon maaf itu adalah satu ketinggian budi,” katanya lagi.

Minta maaf merupakan akhlak yang diajarkan dalam Islam, seperti ketika hari raya

Menurutnya lagi, mengambil contoh mudah seperti menyambut hari raya, ucapan maaf zahir dan batin adalah tanda ketinggian budi dan akhlak yang diajarkan oleh Islam.

“Datuk Mufti Pulau Pinang berkali-kali menyatakan beliau bukan ada sebarang kepentingan lain, namun nasihat itu adalah secara ikhlas.

“Bukan nak cari populariti. Nasihat Mufti Pulau Pinang supaya Islam tidak tersasar dalam bulan Rejab, Syaban sebelum menuju Ramadan.

“Ia adalah bulan untuk kita umat Islam memanaskan badan untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada ibadat Ramadan nanti. Jadi jika kita adakan konsert barangkali sedikit sebanyak boleh mencalarkan kehebatan bulan yang mulia,” ujarnya.

Mufti Kelantan sanjung tinggi keprihatinan masyarakat terhadap isu terbabit

Dalam pada itu, Mohamad Shukri juga menyanjung tinggi pandangan masyarakat terhadap institusi fatwa yang rata-ratanya di media sosial bersetuju dengan pandangan mufti.

“Ini satu penghormatan dan penghargaan kepada institusi fatwa. Kemudian berhubung dengan nasihat Mufti Pulau Pinang itu, ia adalah satu nasihat yang boleh didengari dan boleh tidak didengari.

“Kalau pihak tertentu yang rasa nasihat mufti itu tak perlu didengari, itu terserah kepada pihak yang berkenaanlah,” kata Mohamad Shukri.

Terdahulu, kenyataan yang dikeluarkan oleh Wan Salim yang menyarankan agar konsert ‘Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza’ yang bakal berlangsung pada 9 Mac hadapan ditunda kerana menghampiri bulan puasa telah meraih perhatian ramai.

Kenyataan tersebut sekali gus menimbulkan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial kerana ada yang bersetuju dengan saranan tersebut dan ada yang memberi pandangan sebaliknya.

Namun, beliau kemudiannya membuat permohonaan maaf kerana kenyataan terbabit dibuat secara terbuka dan menimbulkan polemik yang tidak dijangka.

Tindakan beliau memohon maaf itu membuatkan segelintir netizen bersedih kerana mufti sememangnya berperanan memberikan peringatan dan pandangan berkaitan hal ehwal agama Islam.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.