Wanita AS Peluk Islam Lepas Pelajari Al-Quran Untuk Fahami Kekuatan Diri Rakyat Palestin
Wanita yang dikenali sebagai Megan B Rice itu juga merupakan pencetus kepada gerakkan #quranbookclub di TikTok yang menunjukkan orang bukan Islam memegang dan membaca Al-Quran buat pertama kali.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seorang wanita Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Megan B Rice memeluk Islam selepas dia membaca dan mempelajari Al-Quran untuk memahami kekuatan diri rakyat Palestin yang sedang berjuang mempertahankan Tanah Air mereka.
Memetik The Guardian, Rice, 34, yang juga seorang TikTokers itu sejak bulan lalu sering menggunakan akaun media sosialnya untuk membincangkan krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di wilayah Semenanjung Gaza.
“Saya ingin bercakap mengenai kepercayaan rakyat Palestin, bagaimana ia begitu kuat, dan mereka masih dapat memberi keutamaan untuk bersyukur kepada Allah, walaupun segala-galanya diambil daripada mereka,” katanya.
Pengikut Rice beri cadangan baca Al-Quran & buku agama agar lebih memahami
Susulan itu, sesetengah pengikutnya yang beragama Islam mencadangkan Rice untuk membaca Al-Quran, buku agama tentang Islam bagi mendapatkan lebih konteks yang mendalam mengenai kepercayaan tersebut.
Oleh kerana itu, Rice telah menganjurkan ‘Kelab Buku Keagamaan’ menerusi aplikasi Discord, di mana setiap orang daripada latar belakang berbeza boleh mempelajari Al-Quran bersamanya.
Rice dapati kandungan ayat Al-Quran selari dengan sistem kepercayaan asalnya
Semakin Rice membaca, semakin dia mendapati bahawa kandungan dalam ayat Al-Quran selari dengan sistem kepercayaan asalnya sendiri.
Wanita berasal dari Chicago itu mendapati Kitab Suci berkenaan menentang konsumerisme, penindasan, dan feminis.
Selepas sebulan mempelajari Al-Quran, Rice akhirnya memeluk Islam selepas mendapat hidayah untuk mengucap dua kalimah syahadah, dia segera membeli tudung untuk dipakai sebagai seorang Muslim.
Generasi muda bukan Islam tertarik untuk membaca Al-Quran
Rice tidak keseorangan dalam keinginaan untuk mempelajari Al-Quran. Di TikTok, ramai orang muda sedang membaca kitab suci itu untuk lebih memahami agama Islam yang selama ini difitnah oleh kebanyakan media barat.
Mereka juga melakukan perkara tersebut sebagai tanda solidariti buat penduduk Islam di Palestin yang ketika ini ditindas oleh tentera Israel.
Hashtag ‘quranbookclub’ makin dapat sambutan di TikTok
Di TikTok, kebanyakan video-video berkenaan menggunakan hashtag ‘quranbookclub’ yang menunjukkan pengguna aplikasi tersebut memegang Al-Quran yang baru dibeli dan membacanya untuk kali pertama.
Gerakkan orang bukan Islam membaca Al-Quran di TikTok ini juga dimulakan oleh Rice sekaligus menyebabkan para pengguna media sosial yang lain semakin teruja untuk mengikutinya.
Bagi yang ingin menonton koleksi-koleksi video yang diperkatakan ini, anda hanya perlu menaip #quranbookclub di ruangan ‘search’ di TikTok.