fbpx
Now Reading
“40 Minit Anak Merintih Macam Ayam Kena Sembelih” – Luahan Bapa Zaharif Buat Ramai Sebak

“40 Minit Anak Merintih Macam Ayam Kena Sembelih” – Luahan Bapa Zaharif Buat Ramai Sebak

Bapa mangsa, Muhd Zamrie di hadapan Ketua Polis Perak juga berulang kali menyatakan harapan keluarga yang ingin siasatan dijalankan secara terperinci.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada Jumaat lalu (15 Disember), negara digemparkan dengan berita kematian seorang pelajar lelaki tingkatan 5 selepas dia dilanggar sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Meru pada waktu tengah hari.

Lebih mengejutkan lagi, mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, dipercayai dilanggar oleh kereta jenis Perodua Ativa yang dipandu seorang pegawai kanan polis.

Difahamkan, berlaku kejadian tidak puas hati membabitkan pemandu yang juga berpangkat Deputi Superintenden dan mangsa kerana membuat bunyi bising menggunakan ekzos motosikal.

Baca Artikel Berkaitan: Pelajar 17 Tahun Maut Kes Langgar Lari Depan Sekolah Di Ipoh

Ketua Polis Perak lakukan kunjungan ziarah, bapa mangsa rebah semasa sambut

Susulan kejadian itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri telah melakukan kunjungan ziarah ke kediaman bapa mangsa, Muhd Zamrie Zainal Abidin, 55, di Taman Chepor Sentosa pada petang semalam (16 Disember).

Dalam kunjungan tersebut, Muhd Zamrie dilihat gagal menahan emosi sedih malah rebah dan hampir pengsan semasa menyambut ketibaan Mohd Yusri sebelum kembali bangkit dan meluahkan segalanya.

“40 minit anak merintih macam ayam kena sembelih. Dia (pelaku) keluar kereta boleh tengok sahaja tanpa reaksi hendak suruh anak masuk dalam keretanya untuk dibawa ke hospital atau bertanyakan bagaimana keadaan dia sebelum ‘blah’ (beredar) dari situ,” luah Muhd Zamrie kepada Mohd Yusri dipetik Harian Metro.

Bapa mangsa dakwa isteri pelaku ada tampil mohon maaf

Muhd Zamrie mendakwa isteri pelaku yang juga guru di SMK Jati ada datang kepadanya sewaktu di lokasi kejadian bagi meminta maaf atas insiden yang menimpa anaknya.

“Isteri dia datang jumpa saya dia kata ‘Pak cik, saya minta maaf. Itu suami saya… Dia memang ada panas baran, dia tak boleh dengar ‘rem’ (memulas pendikit) motosikal’.

“Anak saya bukan penjenayah, dia pelajar sekolah. Adakah atas alasan motosikal bising membolehkan dia dilanggar sampai mati, sedangkan masalah motosikal bising itu boleh diselesaikan secara melalui saman,” katanya.

Muhd Zamrie ingin pihak polis jalankan siasatan secara terperinci

Dalam pertemuan itu, Muhd Zamrie yang juga seorang pesara tentera berulang kali menyatakan harapan keluarga yang ingin siasatan dijalankan secara terperinci.

“Saya kehilangan anak sama ada menang atau kalah, anak saya tak kembali. Tapi saya tak mahu kejadian ini terjadi pada anak orang lain.

“Hendak kata anak saya ‘merempit’, masa kejadian itu ramai orang dan sesak di situ (aliran trafik tinggi) apatah lagi waktu itu mendekati waktu solat Jumaat dan masa itu juga ibu bapa mahu mengambil anak dari sekolah.

“Masa itu pun anak saya sudah berhentikan motosikal, mungkin dia hendak minta maaf waktu itu selepas tidak larat hendak pusing (memecut motosikal) lagi, namun engkau (pelaku) pergi melanggarnya juga kemudian gelar anak saya ‘budak rempit’.

“Kalau kata dia (pelaku) tak kena (hukuman setimpal), saya menyesal tak sudah jadi ayah. (sedangkan) saya nampak depan mata yang anak merintih sebegitu,” katanya lagi.

“Anak saya bukan mat rempit, anak saya tak pernah merempit” – Muhd Zamrie

Dalam pada itu, turut tular di laman X (Twitter) @BuletinTV3, luahan Muhd Zamrie yang menyatakan anaknya bukanlah seorang ‘mat rempit’, sebaliknya hanya memodifikasi ekzos yang menghasilkan bunyi bising.

“Anak saya bukan mat rempit, anak saya tak pernah rempit, anak saya cuba buat ekzos bunyi bising sahaja.”

Bapa Muhammad Zaharif, Muhd Zamrie

KPN ingin saksi tampil buat laporan, bantu siasatan

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain meminta saksi kes terbabit untuk tampil membuat laporan polis.

Katanya, segala bentuk maklumat daripada orang ramai dilihat mampu membantu siasatan dijalankan pihaknya.

“Setakat ini, kita sudah menerima laporan daripada lapan saksi yang membabitkan pelajar sekolah berkenaan. Kita mengalu-alukan saksi lain untuk tampil sekiranya melihat kejadian dan mempunyai maklumat lain,” katanya dipetik Kosmo.

Terdahulu, kakak mangsa, Zetty Zamrie turut tampil di Facebook merayu agar saksi yang berada di lokasi kejadian untuk tampil membuat laporan polis demi membela nasib arwah Muhammad Zaharif.

Memindai ruangan komen pula, rata-rata pengguna media sosial turut berasa sebak dengan luahan bapa Muhammad Zaharif kepada Ketua Polis Perak itu.

Berikut komen yang diberikan oleh netizen di Facebook:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.