fbpx
Now Reading
Batal Seksyen 498: Ibarat Halalkan Perbuatan Lelaki Curang Bersama Isteri Orang, Kata Pakar

Batal Seksyen 498: Ibarat Halalkan Perbuatan Lelaki Curang Bersama Isteri Orang, Kata Pakar

Mufti Johor turut berpendapat pemansuhan Seksyen 498 itu tidak sesuai dengan konteks Malaysia.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada 15 Disember yang lalu, Mahkamah Persekutuan Malaysia telah mengumumkan Seksyen 498 dimansuhkan dan tidak lagi boleh diguna pakai dalam prosiding jenayah melibatkan pendakwaan lelaki menggoda isteri orang.

Menurut Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, keputusan itu dibuat kerana Seksyen 498 merupakan peruntukan undang-undang sebelum merdeka atau undang-undang sedia ada seperti takrifan Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan.

Malah, seksyen itu juga diisytiharkan sebagai tidak berpelembagaan kerana melanggar prinsip asas berhubung kesamarataan jantina.

Keputusan ini nyata mengundang pelbagai reaksi dari ramai pihak. Kebanyakannya mempunyai pendapat tersendiri mengenai pemansuhan seksyen ini di mana ada yang bersetuju dan ada juga yang tertanya-tanya tentang impak pemansuhan tersebut.

Baca Artikel Berkaitan: Seksyen 498 KK Untuk Dakwa Lelaki Goda Isteri Orang Dimansuhkan

Pakar Anggap Pemansuhan Seksyen 498 Sebagai Menghalalkan Perbuatan Lelaki Goda Isteri Orang

Menurut pakar Perlembagaan Datuk Prof. Madya Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, pemansuhan seksyen itu adalah satu kekhilafan undang-undang dan boleh memberi kesan serius, menyalahi agama dan adat tempatan.

Menurut beliau, perbuatan curang seorang lelaki dengan isteri orang kini dilihat tidak lagi menjadi kesalahan jenayah dari aspek undang-undang awam Malaysia dan ia seolah-olah dihalalkan untuk menjadi satu amalan dan pembelaan di sisi undang-undang.

“Saya berpandangan mahkamah telah khilaf kerana tidak melihat seksyen 498 Kanun Keseksaan sebagai peruntukan undang-undang am yang mengawal undang-undang peribadi.

“Ini kerana peruntukan tersebut menyentuh perlindungan yang diberikan kepada undang-undang keluarga iaitu hidup berumah tangga antara suami dan isteri.

“Perkara 8(5)(a) membenarkan diskriminasi termasuklah diskriminasi jantina apa-apa peruntukan yang mengawal selia undang-undang diri (personal law),” katanya yang dipetik dari Utusan Malaysia.

Mahkamah Sepatutnya Melihat Dengan Lebih Meluas

Tambah beliau, mahkamah sepatutnya melihat isu diskriminasi jantina dan tidak boleh menjadikan pemikiran feminisme barat sebagai sumber perundangan di Malaysia kerana ia dibataskan ajaran agama dan adat tempatan, malah Seksyen 3 Akta Undang-undang Sivil 1956 (Semakan 1972).

“Perlembagaan juga bertujuan memelihara kemoralan, justeru mahkamah tak wajar membatalkan Seksyen 498 kerana seksyen tersebut ialah peruntukan undang-undang am menyentuh kemoralan yang membataskan hak kebebasan asasi selain daripada dua perkara lagi yang diperuntukkan dalam Perkara 11(5) (Bahagian II Kebebasan Asasi),” jelasnya.

Wan Ahmad Fauzi turut berpendapat Seksyen 498 merupakan undang-undang yang memelihara kesucian rumah tangga yang ditadbir oleh undang-undang keluarga malah kemuliaan isteri perlu dilihat dari sudut agama dan adat.

“Perkara 11(5) memperuntukkan hak kebebasan agama tidak boleh bercanggah dengan undang-undang awam berkenaan ketenteraman awam, kesihatan awam dan kemoralan.

“Perbuatan seorang lelaki menggoda isteri orang adalah satu yang tidak bermoral dan tidak menggambarkan gaya hidup masyarakat yang madani malah mampu memporak-perandakan kehidupan dalam masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, seksyen itu juga undang-undang yang mengawal selia undang-undang keluarga. Oleh kerana ikatan suami isteri tertakluk kepada undang-undang keluarga, maka Seksyen 498 adalah sah dan berpelembagaan.

“Tiada siapa pun patut memberi pertimbangan tindakan seorang lelaki yang menggoda atau memikat (entice) isteri orang dan perbuatan seorang isteri yang melayan dirinya digoda oleh lelaki lain itu lebih mulia daripada tanggapan bahawa Seksyen 498 itu sebagai undang-undang lapuk dan paternalistic,” katanya lagi.

Tidak Wajar Seksyen Itu Dianggap Melanggar Autonomi & Mencalar Maruah Wanita

Beliau turut berpendapat tidak wajar seksyen itu dianggap mencalarkan maruah wanita kerana isteri mempunyai kemuliaan di sisi suami dan maruah suami akan tercalar dan dianggap dayus jika tidak mengawal akhlak isterinya.

Beliau turut mempersoalkan sama undang-undang yang memelihara kemuliaan isteri dengan tidak membenarkan golongan itu ‘berskandal’ dengan lelaki lain boleh dibatalkan semata-mata tanggapan yang bersifat lapuk dan paternalistic.

Jelas beliau lagi, Perkara 8(2) membenarkan diskriminasi jantina jika diberikan kebenaran oleh Perlembagaan manakala Perkara 8(5)(a) membenarkan diskriminasi jantina begitu juga undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam dan kemoralan.

“Pendekatan tafsiran secara sempit oleh mahkamah dalam kes tersebut tentang pengecualian yang dibenarkan terhadap diskriminasi jantina di bawah Perkara 8 akan membuka kepada lebih banyak percanggahan dengan amalan sedia ada.

“Seksyen 498 merupakan peruntukan nyata yang mengawal selia undang-undang keluarga dan sekatan kepada kebebasan asasi di bawah Bahagian II. Pengecualiaan kepada Perkara 8 tidak semestinya diletakkan di bawah Perkara 8. Perkara 11, 32, 38, 152, 153 dan 181 adalah contoh peruntukan Perlembagaan yang membenarkan diskriminasi agama, jantina dan keturunan.

“Mahkamah hendaklah mengutamakan prinsip ketenteraman awam, kesihatan awam dan kemoralan kerana itu juga merupakan asas kepada penggubalan suatu undang-undang. Tugas mahkamah bukan sahaja mengadili tetapi menguatkuasakan matlamat penggubalan undang-undang tersebut,” jelasnya lagi.

Mufti Johor Anggap Pembatalan Seksyen 498 Tidak Sesuai Dengan Konteks Malaysia

Dalam pada itu, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad berpendapat pembatalan seksyen itu tidak sesuai dengan negara ini kerana kebebasan asas yang termaktub dalam Perlembagaan adalah tertakluk kepada amalan lazim umat Islam, orang Melayu dan orang Asia.

Menurut beliau, di Malaysia, lelaki adalah pemimpin manakala sifat wanita yang lemah menjadikan mereka sebagai golongan yang perlu dilindungi.

“Oleh kerana itu, di Malaysia wujud Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat sebagai manifestasi bahawa kaum hawa ini perlu diberikan perlindungan khusus,” kata beliau.

Perlu Nilai Budaya Setempat Yang Menjadi Teras Kehidupan Rakyat

Beliau turut berpendapat bahawa Doktrin Struktur Asas menegakkan asas-asas tertentu antaranya seperti hak persamaan dan kebebasan asasi perlu melihat nilai budaya setempat dan tidak boleh dikuatkuasakan secaca melulu.

“Islam meletakkan bahawa dalam setiap obligasi lelaki, ada hak wanita seperti hak isteri, hak anak perempuan, hak adik perempuan dan hak ibu.

“Maknanya, diskriminasi ini bukan untuk merendahkan wanita tetapi sebagai manifestasi bahawa Islam melindungi wanita hinggalah wujud terma harta sepencarian bagi memastikan hak wanita sentiasa ter­bela dan terjaga,” jelasnya.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.