fbpx

Jawatankuasa Fatwa Johor Wartakan 81km Jarak Baru Syarat Sah Solat Jamak & Qasar

Penetapan yang dilakukan selaras dengan keputusan dicapai mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia ke-118 pada 16 hingga 17 Februari 2021.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Jawatankuasa Fatwa Johor menetapkan jarak dua marhalah bagi syarat sah solat jamak dan qasar untuk musafir adalah pada 81 kilometer (km).

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, fatwa itu diwartakan dalam Warta Kerajaan Johor pada 9 November lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 (Enakmen 16 Tahun 2003).

Jarak dua marhalah 81km mendapat perkenan Sultan Johor

Jelas Yahya, fatwa jarak dua marhalah bersamaan dengan 81km itu juga telah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor, atas perintah dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan, menyediakan fatwa yang dinyatakan untuk disiarkan menurut Subseksyen 48 (6) enakmen itu.

“Adalah ditetapkan bahawa penentuan kadar dua marhalah bagi musafir untuk menunaikan ibadah solat jamak dan qasar serta hukum-hukum fiqah lain yang memberi keringanan (rukhsah) adalah 81 km,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Sebelum ini pada 25 April 2022, jawatankuasa terbabit telah membuat keputusan penetapan kadar dua marhalah adalah sejauh 81km selepas melihat dan membahas dengan teliti daripada pelbagai sudut.

Penetapan selaras dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan

Penetapan yang dilakukan itu juga selaras dengan keputusan dicapai mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia ke-118 pada 16 hingga 17 Februari 2021.

Muzakarah itu berpendapat bahawa hukum penentuan kadar dua marhalah, kariah dan balad dari perspektif fiqah semasa adalah 81km dengan persempadan dan penentuan kariah serta balad pula mengikut empat pilihan.

Berikut adalah empat pilihan persempadanan dan penentuan kariah serta balad:
  1. Mengikut kaedah, uruf dan ketetapan negeri-negeri selaras akta atau enakmen negeri.
  2. Mengikut peta yang dikeluarkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem)
  3. Mengikut peta disediakan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) melalui sistem i-PLAN.
  4. Mengambil kira populasi kepadatan penempatan secara vertikal seperti kondominium, rumah pangsa dan seumpamanya yang ditetapkan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.
View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.