fbpx
Now Reading
Seksyen 498 KK Untuk Dakwa Lelaki Goda Isteri Orang Dimansuhkan

Seksyen 498 KK Untuk Dakwa Lelaki Goda Isteri Orang Dimansuhkan

Menurut Ketua Hakim Negara, Seksyen 498 merupakan peruntukan undang-undang sebelum merdeka atau undang-undang sedia ada seperti takrifan Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Hari ini (15 Disember), Mahkamah Persekutuan Malaysia membuat keputusan bahawa Seksyen 498 Kanun Keseksaan dimansuhkan dan tidak lagi boleh diguna pakai dalam prosiding jenayah melibatkan pendakwaan lelaki menggoda isteri orang.

Keputusan itu dibuat panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas mengisytiharkan seksyen itu tidak berpelembagaan kerana melanggar prinsip asas berhubung kesamarataan jantina, lapor Kosmo.

Turut bersidang empat lagi hakim iaitu Hakim Besar Malaya dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Seksyen 498 KK adalah peruntukan undang-undang sebelum merdeka

Hakim Tengku Maimun berkata, Seksyen 498 merupakan peruntukan undang-undang sebelum merdeka atau undang-undang sedia ada seperti takrifan Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, Perkara 162(6) memberi kuasa kepada mahkamah atau tribunal mengubah suai atau meminda peruntukan undang-undang untuk diselarikan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kesemua panel membuat keputusan itu selepas membenarkan persoalan undang-undang yang dirujuk oleh seorang lelaki yang juga ahli perniagaan dalam usaha mendapatkan perisytiharan bahawa seksyen tersebut tidak berpelembagaan.

Keputusan itu hanya berkuat kuasa untuk kes-kes yang akan datang

Bagaimanapun, keputusan itu hanya berkuat kuasa untuk kes-kes yang akan datang sahaja dengan tujuan memelihara pendakwaan terdahulu.

Susulan itu, panel-panel berkenaan memerintahkan kes tersebut agar dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan hakim membuat perisytiharan atau perintah berkaitan prosiding yang berjalan di Mahkamah Majistret.

Pada Mac lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan ahli perniagaan berusia 53 tahun itu untuk merujuk persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan.

Ahli perniagaan didakwa goda isteri orang pada 2020 lalu

Lelaki terbabit sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 2020 atas pertuduhan menggoda isteri orang di sebuah pangsapuri di Selangor pada 2018 selepas suami wanita itu membuat laporan polis.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Namun semasa prosiding, peguam yang mewakili tertuduh, J. Jayarubbiny meminta agar Seksyen 498 dimansuhkan kerana tidak berpelembagaan.

Seksyen 498 bersifat diskriminasi terhadap wanita sudah berkahwin

Kata Jayarubbiny, peruntukan itu bersifat diskriminasi terhadap wanita yang sudah berkahwin kerana mereka dianggap sebagai hak milik suami dan terdedah kepada penderaan pasangan.

Jelasnya, pindaan terhadap Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan untuk memasukkan perkataan ‘jantina’ merupakan bukti Parlimen sebagai penggubal undang-undang Malaysia memberi isyarat bahawa wanita dan lelaki dilihat sama rata serta mempunyai hak yang sama.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.