Tayar Monorel Terbakar & Terjatuh Berhampiran Stesen Chow Kit
Menurut Rapid KL, insiden melibatkan monorel bernombor 23 itu disedari oleh pemandu tren selepas terlihat kepulan asap yang keluar dari sisi tren ketika menghampiri Stesen Chow Kit.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Orang ramai awam di sekitar Jalan Tun Razak hari ini (19 Disember) dikejutkan dengan insiden tayar sebuah tren monorel yang terjatuh dan terbakar.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur, pihaknya menerima laporan berhubung insiden pada jam sekitar 12:57 tengah hari.
Sehubungan itu sepasukan anggota bomba seramai lima orang dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa bersama satu jentera telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, kebakaran melibatkan tayar monorel dan telah jatuh ke jalan raya.
“Kebakaran tersebut telah berjaya dipadamkan menggunakan satu aliran daripada pam jentera.”
Foto dan video insiden turut tular di media sosial selepas dikongsikan beberapa pengguna di Facebook.
Insiden ketika tren menghampiri stesen Chow Kit, tindakan pantas pemandu berjaya selamatkan keadaaan
Rapid KL turut mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan insiden melibatkan monorel bernombor 23 yang sedang dalam perjalanan menghala ke Titiwangsa.
Menurut Rapid KL, insiden disedari oleh pemandu tren selepas terlihat kepulan asap yang keluar dari sisi tren ketika menghampiri Stesen Chow Kit.
Namun tindakan pantas pemandu tren mengeluarkan penumpang di stesen telah mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini.
Langkah ini juga berjaya mengelakkan berlaku sebarang gangguan kepada perkhidmatan. Ketika kejadian, jadual perkhidmatan Laluan Monorel beroperasi seperi biasa.
Serpihan tayar terjatuh akibat kebakaran
Tambah Rapid KL lagi, akibat daripada kebakaran ini, serpihan tayar berkenaan telah jatuh ke atas jalan raya namun tiada berlaku sebarang kemalangan atau kecederaan.
“Sebagai langkah keselamatan, semua penumpang telah diminta turun di stesen berkenaan dan tren tersebut segera ditamatkan perkhidmatan. Tren tersebut telah dibawa ke “end track” di Stesen Titiwangsa bagi tujuan pemeriksaan oleh pihak teknikal. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kebakaran kecil pada salah satu tayar.”
Rapid KL
Pihaknya juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan dan mencari punca yang menyebabkan berlakunya insiden ini.