Umum mengetahui kanak-kanak yang sedang membesar seperti satu hingga empat tahun sedang sibuk menerokai dunia sendiri.
Malah segelintir darinya belum mahir untuk memaklumkan kehendak diri seperti ingin membuang air kecil dan sebagainya khususnya kanak-kanak yang baru sahaja belajar tidak menggunakan lampin.
Namun sebagai ibu bapa kita perlulah bersabar dengan setiap perangai anak memandangkan mereka sedang membesar.
Terkencing atas sofa, bapa pukul anak dan isteri
Baru-baru ini, seorang bapa telah bertindak memukul anak dan isterinya hanya kerana kanak-kanak berusia tiga tahun itu terkencing di atas sofa ruang tamu.
Kejadian itu berlaku di Taman Putra Damai, Lembah Subang, Petaling jaya pada 31 Disember 2023, jam 11.50 pagi.
Difahamkan bapa berusia 29 tahun itu tidak dapat mengawal kemarahannya sebelum memukul mangsa dan isteri.
Isteri buat laporan polis kerana alami kecederaan fizikal
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid memberitahu tindakan lelaki berkenaan telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Oleh itu, isteri serta anak telah hadir ke balai polis untuk membuat laporan berhubung perkara tersebut.
Sebaik menerima laporan pihak polis kemudiannya menahan suspek.
“Susulan itu, polis menahan suspek dan direman bermula kelmarin hingga Ahad (7 Januari) ini bagi membantu siasatan.
“Siasatan mendapati punca kejadian itu kerana anaknya terkencing di sofa ruang tamu,” katanya, dipetik Kosmo.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, juga Seksyen 18A Keganasan Rumah Tangga serta Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.