Pemandu Pelancong Di Ipoh Maut Selepas Bongkah Batu Jatuh Di Kepala
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, pemeriksaan pakar forensik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati punca kematian mangsa kerana kecederaan di kepala akibat ditimpa batu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Malang tidak berbau buat seorang pemandu pelancong di Ipoh apabila maut selepas ditimpa satu bongkah batu yang jatuh dari atas bukit di kawasan perkampungan riadah dan budaya Qing Xing Ling di Taman Saikat, Gunung Rapat, Ipoh.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu pada pukul 11.30 pagi semalam (8 April) melibatkan mangsa seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun.
Bongkah batu jatuh di kepala ketika bersama pelancong warga Vietnam
Menurutnya, siasatan mendapati satu bongkah batu telah terjatuh di kepala mangsa ketika dia sedang mengunjungi lokasi itu bersama seorang pelancong warga Vietnam.
“Semasa berada di lokasi kejadian, satu bongkah batu dianggarkan seberat lima kilogram telah terjatuh dan menimpa kepala mangsa.
“Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di petik Kosmo.
Punca kematian akibat kecederaan di kepala
Menurutnya lagi, pemeriksaan pakar forensik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati punca kematian mangsa kerana kecederaan di kepala akibat ditimpa batu.
Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas tubuh mangsa tidak menjumpai sebarang unsur jenayah.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ipoh di talian 05-2542222,” katanya.