fbpx
Now Reading
Kes Myvi Rempuh 3 Motosikal, Bekas Kerani Polis Mengaku Tidak Bersalah

Kes Myvi Rempuh 3 Motosikal, Bekas Kerani Polis Mengaku Tidak Bersalah

Warga emas yang memandu Perodua Myvi itu menghidap penyakit Kolesteatoma iaitu ketumbuhan pada bahagian telinga sejak 2002 dan telinga kanan tidak boleh mendengar.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebelum ini, tular satu video memaparkan sebuah kenderaan yang merempuh tiga motosikal dipercayai di Jalan Bukit Gambir, Georgetown, Pulau Pinang pada 27 November 2023.

Menerusi video tular di media sosial kelihatan kereta jenama Perodua Myvi telah melalui laluan kecemasan sebelum merempuh sebuah motosikal.

Dalam satu lagi video dashcam dipercayai daripada kenderaan Myvi berkenaan, kelihatan kereta tersebut telah merempuh dua lagi motosikal berdekatan lampu isyarat.

Menurut laporan Bernama, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan ketika insiden berlaku.

Susulan daripada kejadian tersebut, mangsa yang dilanggar telah dilaporkan mengalami kecederaan.

Pemandu warga emas mengaku tak bersalah

Terbaharu, pemandu yang merupakan bekas kerani Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Majistret pada hari ini (18 Januari).

Pengakuan tersebut telah dilakukan oleh pemandu Myvi, Tan Leuk Ley, 76, sebaik ia dibacakan semasa prosiding di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.

Seramai lima mangsa cedera ekoran dirempuh

Berdasarkan kertas pertuduhan, warga emas berkenaan didakwa memandu dengan kelajuan berbahaya sehingga mengakibatkan berlakunya kemalangan kepada lima mangsa.

Mangsa yang tercedera adalah tiga penunggang serta dua pembonceng motosikal iaitu terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berumur sekitar 15 hingga 40 tahun.

Warga emas berkenaan didakwa membuat kesalahan berkenaan pada 27 November pada jam 2.15 petang.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 maksimum RM15,000 selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun.

Sewaktu pembicaraan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali telah memohon untuk ikat jamin RM10,000 untuk setiap pertuduhan.

Tertuduh alami penyakit Kolesteatoma, telinga sebelah kanan tak dengar

Namun peguam yang mewakili warga emas berkenaan, Dev Kumarendran telah membuat rayuan untuk jaminan itu dikurangkan.

Ia berikutan anak guamnya itu menghidap penyakit Kolesteatoma iaitu ketumbuhan pada bahagian telinga sejak 2002 selain telinga kanan yang tidak boleh mendengar.

“Anak guam saya sudah menjalani pembedahan sebanyak tiga kali disebabkan ketumbuhan telinga dan sehingga kini masih menjalani rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang serta sebuah hospital swasta.

“Malah, dia juga dijaga oleh tiga anak perempuannya susulan kematian suami sejak 10 tahun lalu selain hanya menerima pencen bulanan RM1,800. Sehubungan itu, saya mohon mahkamah mempertimbangkan jumlah jaminan terhadapnya,” ujar peguam itu, lapor Malaysia Gazette.

Diberi ikat jamin RM15,000 untuk semua kesalahan

Oleh itu, majistret lalu membenarkan warga emas berkenaan diikat jamin RM15,000 untuk semua pertuduhan terhadapnya dengan seorang penjamin.

Selain itu syarat tambahan turut ditetapkan oleh majistret di mana pemandu Myvi itu dilarang menganggu atau mendekati semua mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 3 Mac ini bagi penyerahan dokumen dan itu termasuk dengan laporan perubatan mangsa terbabit kemalangan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.