fbpx
Now Reading
Kesatuan ‘Rider Makanan’ Gesa Kerajaan Tubuh Badan Kawal Selia Ekonomi Gig Demi Kebajikan Pekerja

Kesatuan ‘Rider Makanan’ Gesa Kerajaan Tubuh Badan Kawal Selia Ekonomi Gig Demi Kebajikan Pekerja

Penasihat Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia, Bryan Ng Yih Miin berkata kerajaan perlu mengambil langkah jangka pendek bagi menangani isu berkaitan kadar upah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ekonomi gig sebagai satu sistem pasaran bebas menjadi semakin popular di Malaysia, terutamanya sejak pandemik COVID-19 melanda negara pada 2019.

Kebiasaannya, organisasi atau perniagaan akan mengupah pekerja sambilan untuk komitmen jangka pendek. Namun kebelakangan ini, timbul isu membabitkan gaji (upah) para penghantar barangan (p-hailing), khususnya makanan yang dilaporkan semakin berkurang. Ini menyebabkan ada yang mula tidak berpuas hati dan mengharapkan campur tangan kerajaan.

Terbaharu, Berita Harian melaporkan Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) menggesa kerajaan supaya segera menubuhkan Badan Kawal Selia Ekonomi Gig.

Menurutnya, ia penting bagi menjamin kebajikan penggiat ekonomi gig, terutamanya mereka yang melakukan servis p-hailing yang terkesan dengan penurunan kadar upah.

Bryan Ng Yih Miin selaku penasihat PPRPM, berkata pihaknya turut menggesa kerajaan mengambil langkah jangka pendek bagi menangani isu berkaitan kadar upah.

“Isu penurunan kadar upah adalah isu berulang dan menjadi dilema buat penunggang p-hailing. Isu itu juga pernah disuarakan penunggang p-hailing kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam program Temu Anwar di Petaling Jaya, Selangor,” kata Bryan dalam satu kenyataan.

Menurut Bryan, selepas program Temu Anwar, satu perbincangan antara syarikat penyelia p-hailing dengan Perdana Menteri, Menteri Pengangkutan, Menteri Sumber Manusia dan Menteri Komunikasi dan Multimedia telah diadakan di Pejabat Perdana Menteri.

Kadar Upah Didakwa Turun Drastik

Bryan berkata semua syarikat yang menyertai perbincangan tersebut bersetuju untuk meneliti semula kadar upah terhadap penunggang. Akan tetapi, Bryan mendakwa penurunan kadar upah masih berlaku.

“Penurunan kadar upah dilakukan syarikat adalah keputusan secara tergesa-gesa tanpa berbincang dan merujuk kepada penunggang. Malah keputusan dibuat syarikat sangat tidak menghormati perbincangan bersama Perdana Menteri,” jelas Bryan.

Pihak PPRPM kecewa dengan Grabfood Malaysia yang didakwa memperkenalkan kadar upah baharu membabitkan penurunan drastik. Ia turut menggesa Grabfood supaya mengembalikan semula kadar upah kepada kadar asal serta merta berikutan kadar upah yang sangat rendah dan pengiraannya tidak jelas.

Di samping itu, Bryan menekankan bahawa ketiadaan akta khusus berkaitan ekonomi gig, terutamanya p-hailing, akan menyebabkan isu tersebut berterusan.

Katanya, perangkaan dan pengeluaran dasar atau garis panduan bagi ekosistem sektor ekonomi itu hanya boleh dilakukan oleh pihak kerajaan.

Grab Nafi Dakwaan Gaji Dikurangkan

Namun Grabfood Malaysia dalam satu kenyataan menafikan dakwaan tentang penurunan kadar upah. Sebaliknya, ia menerangkan bahawa bayaran asas diselaraskan serta elaun dan insentif kepada penunggang ditingkatkan.

Pihaknya memaklumkan telah menyusun semula yuran penghantaran dan rangka kerja bonus syarikat itu.

Perubahan yang bermula Selasa (16 Januari 2023) bertujuan bagi memastikan pampasan lebih adil diberi bagi tempahan yang mengambil lebih banyak masa dan usaha.

“Langkah ini diambil setelah merujuk kepada maklum balas terbaru rakan kongsi penghantaran kami mengenai tempahan yang membabitkan masa menunggu lebih lama di kedai peniaga atau pengambilan yang lebih jauh,” jelas Grab Malaysia.

Grab Rancang Tingkatkan Bonus Pengambilan Jarak Jauh

Tambah Grab lagi, bagi tempahan sedemikian, bukan sahaja tambang asas penunggang yang disusun semula, tetapi bayaran bonus turut dicadangkan supaya dinaikkan.

“Kami menjangkakan rangka kerja yuran dan bonus baharu akan memanfaatkan rakan kongsi penghantaran kami yang paling aktif yang bekerja keras untuk memenuhi pesanan pengguna yang mencabar seperti pesanan yang memerlukan lebih banyak usaha untuk diselesaikan,” kata Grab.

Menurutnya lagi, melalui penambahbaikan ini, pendapatan penunggang dapat dimaksimumkan. Dalam masa yang sama, ia dapat mengurangkan masa menunggu peniaga melalui ciri yang membolehkan penunggang tiba di kedai tepat pada masanya setelah makanan siap disediakan.

Grab juga bercadang meningkatkan bonus bagi pengambilan jarak jauh antara 20% hingga 30%. Dalam tempoh permintaan tinggi (high demand), penunggang akan mendapat pampasan yang lebih baik, dengan penekanan lebih ke atas Tambang Puncak, Bonus Prestasi dan Bonus Mingguan.

4 Juta Pekerja Gig Setakat Disember 2023

Sebagai info, The Star sebelum ini melaporkan seramai kira-kira empat juta individu, yakni suku daripada tenaga kerja dalam negara, terlibat dengan ekonomi gig setakat hujung tahun lepas. Majoritinya adalah belia berumur 25 hingga 44 tahun.

Pada tahun 2019, satu kajian oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menganggarkan 40% daripada jumlah pekerja di Malaysia adalah dalam kalangan pekerja gig dalam masa lima tahun akan datang. Nilai ini adalah sekitar dua kali ganda purata dunia.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.