fbpx
Now Reading
Sarjan Polis Didakwa Rogol Pelajar Tingkatan 4 Mengaku Tidak Bersalah

Sarjan Polis Didakwa Rogol Pelajar Tingkatan 4 Mengaku Tidak Bersalah

Suspek yang merupakan Timbalan Ketua Balai Polis Parit, Perak diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 bersama seorang penjamin.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kebelakangan ini, isu membabitkan anggota polis banyak dilaporkan media. Ada yang berdepan dakwaan rasuah, peras ugut, malah rogol.

Meskipun angkanya kecil, keadaan ini menimbulkan kebimbangan orang awam khususnya kaum wanita, memandangkan peranan mereka adalah untuk melindungi rakyat.

Baca Artikel Berkaitan: JIPS Siasat Anggota Polis Simpan Angpau & Wang Tunai Dalam Lokar

Baca Artikel Berkaitan: Lans Koperal Mengaku Tidak Bersalah Atas Pertuduhan Rogol Pelajar Uzbekistan

Sekitar Januari lalu, seorang anggota polis ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes rogol seorang remaja perempuan berusia 16 tahun sebanyak dua kali di Perak.

Kejadian tersebut didakwa berlaku pada bulan Julai dan Oktober tahun lalu di dalam kereta ketika di hadapan sebuah balai polis dan kawasan parkir pasar raya di daerah Perak Tengah.

Baca Artikel Berkaitan: Polis Pangkat Sarjan Disyaki Terlibat 2 Kali Dalam Kes Rogol Pelajar 16 Tahun

Tertuduh Kes Rogol Mengaku Tidak Bersalah

Hari ini (8 Februari 2024), anggota polis berkenaan, Sharil Amir Shaari telah didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan merogol pelajar Tingkatan 4 itu.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu di dalam sebuah kereta yang diletakkan di kawasan tempat parkir hadapan satu pasar raya di Seri Iskandar Prima, Seri Iskandar sekitar jam 4 petang pada 12 Januari lalu.

Tertuduh, yang juga merupakan Timbalan Ketua Balai Polis Parit didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Dalam masa yang sama, Timbalan Pendakwa Raya Qurratu’aini Khalufah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana bimbang tertuduh akan mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan, lapor Berita Harian.

Peguam, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid yang mewakili tertuduh memohon jaminan kerana anak guamnya memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan dan rela hadir ke mahkamah.

Tertuduh Ditahan Kerja Sejak 5 Februari

Ahmad Shamil memaklumkan bahawa tertuduh telah berkhidmat sebagai anggota polis sejak 17 tahun lalu. Dia telah ditahan kerja sejak 5 Februari dan diminta membuat lapor diri kepada ketua balai pada setiap hari Isnin dan Khamis sepanjang tempoh tersebut.

Dia turut meminta mahkamah supaya mempertimbangkan anak guamnya yang menanggung isteri dan lima anak dengan pendapatan bulanan RM2,000, dan hanya menerima separuh daripadanya atas sebab perintah tahan kerja.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bersama seorang penjamin, dengan tertuduh dilarang mendekati mangsa. Kes dijadualkan untuk sebutan semula pada 25 Mac depan.

Suspek Ditangkap Sejak 28 Januari

Astro Awani sebelum ini melaporkan suspek telah ditangkap pada 28 Januari lalu dan direman sehingga 31 Januari.

Perkara tersebut diketahui apabila ibu mangsa mendesak anaknya membongkar perbuatan suspek dan melakukan laporan, sebelum dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah.

Menurut Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Hafezul Helmi Hamzah, laporan berkenaan kes tersebut telah diterima pada 20 Januari.

Suspek kemudiannya direman sekali lagi pada 2 Februari bagi tujuan siasatan kes rogol mangsa yang lain.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kes tersebut telah dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman untuk mengambil alih siasatan.

“Memang kita lihat baru-baru ini, berlaku ketidak patuh integriti dalam kalangan pasukan polis,” katanya kepada Astro Awani.

Beliau sebelum ini menekankan bahawa siasatan akan dijalankan dengan telus untuk memastikan keadilan bagi pihak mangsa walaupun suspek merupakan seorang anggota polis.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.