fbpx
Now Reading
“Masukkan Bak Kut Teh Dalam Senarai Makanan Warisan Boleh Tarik Ramai Pelancong” – Teresa Kok

“Masukkan Bak Kut Teh Dalam Senarai Makanan Warisan Boleh Tarik Ramai Pelancong” – Teresa Kok

Menurut Teresa, lebih 100,000 pelancong China bercuti ke Malaysia sejak 5 Februari lalu iaitu ketika menjelangnya sambutan Tahun Baru Cina.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menyifatkan tindakan orang ramai mengkritik kerajaan yang menyenaraikan bak kut teh dalam senarai makanan warisan negara adalah tidak berasas.

Menurutnya, ini kerana tindakan menyenaraikan makanan tradisi masyarakat Cina di Malaysia itu akan memberi banyak kelebihan terutamanya dalam menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.

Gambar sekadar hiasan (Foto: Malaymail)

“Bak kut teh dicipta warga Cina di Malaysia. Kalau kita tidak buat tuntutan bahawa ia dicipta (warga Malaysia), negara jiran kita akan buat tuntutan sama. Jadi pelancong tak sedar, bak kut teh ini asalnya dari Klang.

“Pada pandangan saya, tujuan kita untuk masukkan makanan tertentu dalam senarai makan warisan, termasuk bak kut teh adalah untuk tarik pelancong asing melawat Malaysia, khususnya dari Asia Timur seperti China, Hong Kong, Jepun, Korea dan Taiwan,” katanya.

Memetik Berita Harian, Teresa dilaporkan berkata demikian semasa sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini (4 Mac).

Lebih 100,000 pelancong China bercuti ke Malaysia sejak 5 Februari lalu

Menurutnya, mengikut perangkaan terkini yang dikeluarkan Presiden Persatuan Pelancong Cina Malaysia, lebih 100,000 pelancong China bercuti ke Malaysia sejak 5 Februari lalu iaitu ketika menjelangnya sambutan Tahun Baru Cina.

“Lebih 5,000 kumpulan pelancong China yang berada di Malaysia dalam tempoh terbabit dan mereka membelanjakan lebih RM1 bilion hingga RM1.5 bilion di negara kita.

“Malah, kita sendiri sedar Malaysia perlu bersaing untuk tarik pelancong China, terutama (bersaing) dengan negara lain di Asia Tenggara,” katanya.

PAS juga pernah perkenalkan bak kut teh versi halal

Ketika sesi perbahasan tersebut, Teresa turut membangkitkan tindakan PAS yang memperkenalkan bak kut teh versi halal pada satu kempen pilihan raya kecil (PRK) 2018 lalu.

“Saya ingin puji PAS melalui bekas Ketua Penerangan Dewan Penerangan PAS Pusat, Dr Najihatussalehah Ahmad yang pernah perkenalkan bak kut teh halal dinamakan ‘lamb kut teh’ dan ‘chick kut teh’ yang menggunakan daging kambing dan daging ayam.

“Ia dilancarkan bersempena PRK, enam tahun lalu. Jadi saya harap pihak lain termasuk Ahli Parlimen Temerloh (Salamiah Mohd Nor) yang lantang mengkritik apabila ia disenaraikan sebagai makanan warisan negara untuk belajar daripada PAS dan promosikan bak kut teh untuk pupuk perpaduan nasional,” katanya.

Foto: PAS
Foto: PAS

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki dalam perbahasannya pada hari ini juga menyentuh isu berkenaan.

“Kita tidak ada masalah untuk terima bak kut teh jika ia benar-benar halal. Orang masih faham bak kut teh dibuat daripada sup tulang babi. Melainkan, kerajaan bagi penerangan sejelasnya dan maklumkan ada (bak kut teh) yang halal dan yang haram,” katanya.

Teresa jelaskan, bak ku teh tak semestinya dihasilkan daripada babi

Tidak berpuas hati dengan kenyataan dan pandangan Mohd Misbahul, Teresa kemudianya bangkit mencelah.

“Bak kut teh tak semestinya dihasilkan daripada babi, ia boleh jadi vegetarian, kambing dan lembu,” katanya.

10 makanan diwartakan sebagai objek warisan termasuk bak kut teh

Terdahulu pada 24 Februari lalu, Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin, memaklumkan 10 makanan diwartakan sebagai objek warisan melalui kuasa diberikan kepadanya oleh subseksyen 49(1) Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645].

Selain bak kut teh, makanan tradisional lain turut tersenarai ialah burasak, mi kolok, nasi ambeng, dodol kukus tahi minyak, kuih genggang atau lapis, karas, uthappam, jeruk tuhau dan air katira.

Sebagai info, bak kut teh merupakan sejenis hidangan sup berserta daging yang dimasak bersama herba tradisi kaum Cina.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.