fbpx
Now Reading
Bapa Tuntut Ganti Rugi RM3 Juta, Anak Perempuan Maut Kena Renjatan Elektrik Di Asrama

Bapa Tuntut Ganti Rugi RM3 Juta, Anak Perempuan Maut Kena Renjatan Elektrik Di Asrama

Mengikut penyataan tuntutan difailkan bersama writ berkenaan, bapa mangsa berkata anak perempuannya itu ditemui terbaring tidak bernyawa di lantai bilik asrama berkenaan pada 21 Mei 2022.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang bapa yang kematian anak perempuan bongsunya pada dua tahun lalu akibat terkena renjatan elektrik di bilik asrama sebuah universiti di Kedah telah menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta daripada institusi terbabit.

Memetik Kosmo, tuntutan ganti rugi itu dibuat seorang lelaki berusia 55 tahun selaku plaintif menerusi firma guaman, Tetuan M. Manoharan & Co di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 28 Februari lalu dengan menamakan universiti terbabit sebagai defendan tunggal.

Anak perempuan ditemui terbaring tidak bernyawa dalam bilik asrama

Mengikut penyataan tuntutan difailkan bersama writ berkenaan, bapa mangsa berkata anak perempuannya itu ditemui terbaring tidak bernyawa di lantai bilik asrama berkenaan pada 21 Mei 2022.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, satu siasatan telah dibuat oleh pihak polis selain bedah siasat juga dijalankan pegawai perubatan ke atas mayat berkenaan untuk menentukan punca kematian mahasiswa tersebut.

“Pemeriksaan bedah siasat menyimpulkan bahawa punca kematian adalah renjatan elektrik. Selanjutnya, Mahkamah Sesyen Alor Setar bertindak di bawah Seksyen 333 Kanun Tatacara Jenayah memastikan bahawa renjatan elektrik adalah punca kematian perempuan berkenaan.

“Perkara ini disahkan dalam surat bertarikh 1 Februari 2023 daripada Timbalan Pendaftar Mahkamah Sesyen Alor Setar kepada plaintif,” katanya.

Pihak universiti bertanggungjawab pastikan keselamatan pelajar

Menurutnya plaintif itu lagi, defendan juga bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan anaknya daripada tidak terkena renjatan elektrik di bilik asrama terbabit.

“Plaintif menyatakan bahawa defendan sebagai pemilik asrama itu mempunyai kewajipan berkanun kepada semua penghuninya yang sah di bawah peruntukan Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 untuk menyenggara elektrik.

“Melanggar kewajipan berjaga-jaga dan berkanunnya, defendan gagal memastikan pelajar selamat daripada terkena renjatan elektrik dan gagal menyelenggara pemasangan elektrik secara betul hingga menyebabkan anaknya terkena renjatan yang mengakibatkan kematiannya,” katanya dalam penyataan tuntutan.

Pihak universiti gagal pastikan pelajar selamat guna barangan elektrik di asrama

Dalam butiran keingkaran kecuian pula, plaintif berkata defendan gagal mengambil langkah penjagaan munasabah bagi memastikan mangsa adalah semunasabahnya selamat ketika menggunakan bilik itu terutamanya memastikan penggunaan kelengkapan elektrik yang selamat.

Selain itu, defendan turut didakwa gagal mengambil mana-mana langkah penjagaan munasabah bagi mengelakkan kecederaan, kerosakan atau kematian daripada renjatan elektrik.

Gambar sekadar hiasan (Foto: Pexels)

“Menyebabkan atau membenarkan peralatan elektrik khususnya lampu dinding atau peralatan lain yang rosak dalam bilik berkenaan menjadi dan kekal dalam keadaan rosak serta berbahaya.

“Kegagalan untuk menggantikan atau membaiki lampu dinding elektrik atau peralatan lain yang rosak, selain mengambil langkah yang munasabah untuk menjadikan perkakas itu selamat digunakan.

“Gagal mengambil langkah mencukupi sama ada melalui pemeriksaan berkala untuk memastikan pemasangan elektrik berada dalam keadaan yang secara munasabah adalah selamat, tidak rosak atau berbahaya,” ujarnya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.