fbpx
Now Reading
Pegawai Keselamatan Jumpa Bagasi Berisi Lebih RM500,000 Di Parkir Pusat Membeli-Belah

Pegawai Keselamatan Jumpa Bagasi Berisi Lebih RM500,000 Di Parkir Pusat Membeli-Belah

Bagasi yang berwarna merah jambu dan putih itu ditemukan di parkir kenderaan sebuah pusat membeli-belah di Damansara semalam (20 Mac).

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Siapa sangka bagasi pakaian yang ditinggalkan di tempat letak kenderaan mengandungi wang kertas lebih setengah juta.

Itulah yang terjadi apabila seorang pengawal keselamatan di sebuah pusat membeli-belah di Damansara terjumpa satu bagasi berwarna merah jambu dan putih yang tidak diketahui pemiliknya.

Pihak polis menerima laporan daripada pengawal keselamatan berkenaan sekitar 8 pagi semalam (20 Mac), maklum Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Bagasi Ada Not RM10, RM50 & RM100

Hasil pemeriksaan mendapati beg tersebut mengandungi wang kertas not RM10, RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan lebih RM500,000.

Hussein berkata pihaknya mempercayai wang yang ditemui itu adalah tulen, tetapi akan tetap membuat pengesahan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam masa terdekat.

Dalam masa sama, pihak polis telah meneliti rakaman CCTV di premis berkenaan, namun tiada yang menghala ke arah lokasi bagasi ditemui memandangkan ia hanya dipasang di kawasan keluar masuk kenderaan.

Bawa Bukti Jika Ingin Tuntut Wang

Hussein meminta agar individu yang telah tertinggal bagasi tersebut tampil ke Balai Polis Petaling Jaya atau menghubungi talian 03-79662222 untuk menuntut beg berisi wang lebih setengah juta itu.

“Jika pemilik ingin menuntut wang berkenaan, kita minta bawa bukti-bukti berkaitan.”

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

Jika bagasi berkenaan tidak dituntut, pihak polis akan menyerahkannya kepada pihak mahkamah bagi tindakan lanjut.

Netizen Puji Pengawal Keselamatan

Pengawal keselamatan yang merupakan seorang warga tempatan berusia 30 tahun sememangnya layak dipuji atas kejujurannya.

Walaupun wang yang ditemuinya itu berkali ganda lebih banyak berbanding gaji yang diterima, dia tidak gelap mata dan memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Sumber: Facebook

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.