fbpx

Kes Simbah Asid Faisal Halim, Suspek Kedua Pula Ditahan

Suspek pertama sebelum ini ditahan di sekitar Pandan Indah manakala suspek kedua di Bandar Baru Bangi.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebelum ini, dunia sukan dikejutkan dengan insiden membabitkan pemain skuad Harimau Malaya, Faisal Halim yang disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Damansara.

Insiden menyebabkan pemain Selangor FC itu mengalami kecederaan melecur serius di bahagian badan serta tangan disebabkan bahan kimia tersebut.

Susulan daripada kejadian itu, pihak polis kemudiannya berjaya menahan seorang lelaki berusia sekitar 20-an yang dipercayai terbabit dalam kes simbah asid berkenaan.

Dia ditahan di sekitar Pandan Indah, Ampang pada malam Ahad dan direman dua hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

Menurut Berita Harian, penahanan lelaki berkenaan berdasarkan nombor pendaftaran sebuah motosikal yang digunakan dalam kes tersebut.

Baca artikel berkaitan: Faisal Halim Disimbah Asid, Pelaku Dipercayai Naik Motosikal Curi

Seorang lagi suspek dipercayai ditahan di Bangi

Terbaharu, polis menahan seorang lagi lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes sama membabitkan bintang bola sepak negara itu.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, lelaki berusia sekitar lewat 30-an itu ditahan petang semalam (7 Mei) di sekitar Bandar Baru Bangi.

“Kita akan mendapatkan perintah reman terhadap lelaki itu di Mahkamah Petaling Jaya hari ini.”

Mengulas mengenai suspek pertama yang sudah direman dua hari, beliau berkata suspek akan dibebaskan dengan jaminan pada hari ini.

Faisal Halim melecur tahap 4 ekoran insiden disimbah asid

Sementara itu, Faisal Halim atau nama penuhnya Mohamad Faisal Abdul Halim dilaporkan mengalami melecur tahap empat sebaik menjalani pembedahan pertama semalam (6 Mei).

Hal itu turut disahkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar yang memberitahu pergerakan serta percakapan pemain bola sepak terbabit buat masa ini sedikit terjejas disebabkan insiden disimbah asid tersebut.

Faisal Halim kini dipantau di ICU, pergerakan dan percakapan terbatas

Katanya lagi Faisal juga akan menjalani sekurang-kurangnya dua pembedahan selepas ini.

“Selepas pembedahan pertama, doktor pakar mengesan ia bukan melecur tahap dua tetapi tahap empat.

“Berdasarkan penilaian, Faisal akan melalui sekurang-kurangnya lagi dua pembedahan yang akan ditentukan doktor.

“Sekarang beliau masih di ICU (Unit Rawatan Rapi), sedang dipantau dengan rapi oleh pakar. Apa yang saya boleh katakan (keadaan Faisal), pergerakan dan percakapan beliau terbatas kerana kesannya ada di bahagian muka (iaitu) pipi, hidung, dan mulut ada sikit.

“Di bahagian badan dan tangan belah kiri agak teruk, itu yang jejaskan pergerakan beliau,” ujarnya dipetik Bernama.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.