fbpx
Now Reading
Musim Durian Dah Tiba, Ini 8 Tips Sebelum Anda Membeli Buah Durian

Musim Durian Dah Tiba, Ini 8 Tips Sebelum Anda Membeli Buah Durian

Terdapat beberapa cara yang boleh digunakan dalam membuat pemilihan buah durian antaranya melalui saiz dan baunya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Durian merupakan buah yang sangat terkenal di Asia Tenggara terutamanya di negara-negara seperti Malaysia, Thailand, Indonesia dan Singapura.

Di Malaysia, musim durian adalah berbeza di setiap negeri. Musim buah ini kebiasaannya bermula di Balik Pulau, Pulau Pinang pada bulan Mei, diikuti Johor pada bulan Jun dan Julai.

Ia diikuti Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu pada Julai dan Ogos dan kemudiannya akan berakhir di Sarawak pada penghujung Ogos atau September.

Raja buah ini mempunyai peminatnya yang tersendiri kerana rasanya yang unik dan aromanya yang lazat.

Menerusi perkongsian seorang pengguna tiktok @redzuan1994, berikut merupakan lapan tips yang boleh anda ikuti semasa membeli raja buah ini agar tidak ditipu oleh penjual durian.

#1 Pilih Buah Yang Lebih Ringan

Foto: Pexels

Ketika anda membeli durian, pasti anda perasan saiz durian adalah lebih kurang sama. Namun, tahukah anda, walaupun mempunyai saiz yang sama, setiap buah ini mempunyai berat yang berbeza.

Anda dinasihatkan untuk memilih buah yang lebih ringan. Hal ini kerana buah durian yang berat dikatakan mempunyai biji yang tebal namun isinya nipis.

Sekiranya anda mahu durian yang banyak isi, pilihlah buah durian yang lebih ringan sekiranya saiz buah adalah sama.

#2 Pilih Durian Yang Berbentuk Bulat

Foto: Freepik

Umum mengetahui bentuk durian tidak terhad kepada bulat. Ada juga durian yang berbentuk lonjong dan panjang.

Sebagai peminat durian, anda disarankan untuk memilih durian yang berbentuk bulat.

Ini kerana, durian yang berbentuk lonjong dan panjang kebiasaannya tidak memiliki jumlah isi yang banyak.

#3 Pilih Durian Yang Berbau Manis

Foto: Freepik

Semasa membeli durian, anda dinasihatkan untuk mencium bau buah itu terlebih dahulu.

Mencium buah merupakan antara kaedah yang paling biasa dibuat oleh peminat durian semasa membeli buah tersebut.

Buah durian yang bagus dan masak adalah buah yang mempunyai kombinasi bau yang manis dan pahit.

#4 Goncang Buah Durian

Foto: Freepik

Tahukah anda, menggoncang buah durian juga merupakan salah satu cara untuk mengenal pasti sama ada buah itu telah masak atau tidak.

Sekiranya anda mendengar bunyi getaran semasa menggoncang, ia menandakan isinya telah matang dan kering.

Durian yang tidak mengeluarkan bunyi semasa digoncang lazimnya mempunyai isi yang lembik dan lembab melekat pada dinding kulit durian.

#5 Lihat Pada Tangkai Durian

Foto: Pexels

Anda juga boleh memilih durian yang baik dengan melihat pada tangkainya. Pastikan anda memilih durian yang mempunyai tangkai pendek dan tebal serta tangkai yang tidak terlalu kering.

Tangkai pendek dan tebal lazimnya mempunyai isi durian yang tebal dan banyak. Manakala, tangkai yang terlalu kering menunjukkan buah durian itu telah lama.

#6 Lihat Pada Duri Buah Durian

Foto: Pexels

Anda juga dinasihatkan untuk elakkan diri daripada membeli buah durian yang mempunyai duri yang panjang dan rapat.

Ini kerana durian yang mempunyai duri lebih yang pendek, besar dan jarang-jarang jaraknya mempunyai isi yang lebih bagus berbanding buah durian yang mempunyai duri panjang dan rapat-rapat.

Jadi, semasa membeli, perhatikan duri setiap buah ini.

#7 Pilih Durian Yang Mempunyai 5 Pangsa

Foto: Pexels

Semasa membuat pembelian, perhatikan di bawah buah itu berapa bahagian belah pangsa yang ada. Ini kerana bahagian bawah durian juga boleh menunjukkan jumlah isi dalam buah tersebut.

Anda disarankan memilih durian yang mempunyai lima pangsa kerana durian sebegini mengandungi isi yang lebih banyak berbanding durian yang mempunyai enam pangsa atau lebih.

#8 Elak Beli Ketika Musim Hujan

Foto: Pexels

Elakkan daripada membeli buah durian semasa musim hujan. Ini kerana, buah durian cenderung untuk gugur daripada pokok sebelum buahnya masak semasa musim hujan.

Untuk mengelakkan daripada kerugian, ada di antara peniaga yang sanggup menjual buah yang belum masak kepada pelanggan semasa musim hujan.

Oleh itu, anda perlu berhati-hati semasa memilih dan tidak digalakkan membuat pembelian semasa musim hujan.

Kesimpulannya, ikutilah lapan tips ini bagi mengelak diri anda dari ditipu dan kerugian semasa membeli raja buah ini.

Ia juga sedikit sebanyak dapat membantu anda dalam membuat pemilihan buah durian yang baik.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.