Now Reading
Jalil Hamid Menganggur 7 Bulan Hanya Kerana Bersuara Tentang Bayaran Rendah

Jalil Hamid Menganggur 7 Bulan Hanya Kerana Bersuara Tentang Bayaran Rendah

https://www.instagram.com/p/BaoKx1knCeE/

Isu bayaran rendah kepada pelakon bukanlah menjadi isu baru. Malah beberapa orang artis veteran pernah menyuarakan ketidak puasan mereka mengenai bayaran. Antaranya pelakon berkaliber, Jalil Hamid,61.

BACA : “Bila dah jadi artis veteran ni rupanya jatuh nilai” – Jalil Hamid Luah Rasa Kecewa.

Namun sikap berani bersuara kerana berasa terhina dengan bayaran RM1,500 sebagai watak utama dalam drama menjadi ‘hukuman’ buat beliau. Sejak isu bayaran itu ditimbulkannya, Jalil terpaksa ‘menganggur’ selama tujuh bulan kerana tidak menerima tawaran berlakon.

Jalil ketika ditemui berkata, apa yang disuarakan itu adalah perkara wajar kerana tidak patut soal bayaran untuk pelakon lama dan berpengalaman sepertinya diperlekehkan.

“Walaupun isu bayaran untuk pelakon lama seperti saya sudah banyak kali disuarakan tetapi hingga kini masih tidak nampak perubahan.

“Bukan saya seorang yang bersuara tetapi ramai juga pelakon lama meluahkan perkara sama, namun situasi tetap sama. Alasannya, pelakon popular perlu dibayar mahal manakala pelakon ‘tak berapa ada’ seperti saya kena bersedia terima bayaran murah,” katanya.

Jalil berkata, antara alasan lain yang diberikan pihak penerbit ialah stesen TV membayar murah drama dihasilkan.

“Kata mereka (penerbit), harga dibayar stesen TV masih sama seperti dulu sejak drama diswastakan pada 1986. Keuntungan diperoleh kurang. Jadi bayaran tetap murah kerana mengambil kira faktor tertentu,” katanya.

Selama empat dekad bergiat aktif sebagai pelakon, Jalil sudah menerima lapan anugerah antaranya Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 1995 dan Artis Komedi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada 1992.

Jalil tidak hanya dikenali sebagai pelakon berwatak berat, tetapi juga sinonim sebagai pelawak dan penyanyi.

Antara filem dan drama lakonan Jalil ialah Wanita Bertudung Hitam, Zombi Kampung Pisang, Bisik Pada Langit, Darling Sayang dan Ahmad Rosli Arwahkan Ketua Kampung.

© 2021 BuzzKini. All Rights Reserved.