fbpx
Now Reading
Perutusan Mengenai Covid-19 : “Tolonglah Stay Put Where You Are” – PM

Perutusan Mengenai Covid-19 : “Tolonglah Stay Put Where You Are” – PM

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyeru rakyat Malaysia agar terus tinggal di rumah dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang sudah bermula hari ini.

Muhyiddin menegaskan, tujuan utama perintah itu dilaksanakan adalah untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19, namun semua itu tidak akan berjaya jika rakyat tidak membataskan pergerakan mereka.

“Saya sebutkan perkara ini kerana semalam ramai yang balik ke kampung. Saya lihat lebuhraya sesak dengan kenderaan menuju ke arah utara, selatan dan timur. Stesen bas juga sesak dengan orang ramai yang ingin pulang ke kampung.

“Saya ingin merayu kepada saudara-saudari. Tolonglah. Stay put where you are. Yang ada di Kuala Lumpur, duduklah di Kuala Lumpur. Yang ada di Johor Bahru duduklah di Johor Bahru. Yang ada di Pulau Pinang, duduklah di Pulau Pinang.

“Kalau anda merancang untuk pulang ke kampung, batalkanlah dahulu niat itu. Saya minta tolong untuk tempoh dua minggu ini sahaja,” kata Muhyiddin menerusi satu perutusan khas yang disiarkan menerusi televisyen malam ini.

Menurut Perdana Menteri lagi, rakyat seharusnya patuh kerana arahan ini unutk membantu memutuskan rantaian jangkitan, seterusnya mengurangkan jumlah kes positif

“Tempoh kawalan dua minggu kerana COVID 19 mempunyai hayat inkubasi dua minggu.

“Kerajaan berharap selepas habis tempoh dua minggu, mereka yang mempunyai simptom berjaya diasingkan untuk diberikan rawatan, menjadikan Malaysia bebas dari COVID-19,” ujarnya.

Muhyiddin juga memaklumkan ada kemungkinan perintah kawalan dilanjutkan jika wabak itu tidak dapat dikawal dalam tempoh dua minggu ini.

“Saya ada tanggungjawab besar untuk menangani krisis yang sedang melanda negara kita. Tetapi saya tidak mungkin dapat melaksanakan tugas ini bersendirian. Saya memerlukan sokongan anda semua,” tambah beliau.

Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Ikuti perutusan khas oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Posted by BuzzKini on Wednesday, March 18, 2020

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.