fbpx
Now Reading
Bagaimana Perang Rusia-Ukraine Memberi Kesan Kepada Malaysia

Bagaimana Perang Rusia-Ukraine Memberi Kesan Kepada Malaysia

“Isu ini akan mengakibatkan lonjakan harga minyak seterusnya menyebabkan berlaku inflasi. Minyak mentah Brent sudah melepasi paras US$100.”

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum pasti mengetahui perang Rusia-Ukraine yang begitu ditakuti banyak kerajaan di dunia sudah pun tercetus selepas Presiden Rusia Vladimir Putin pada pagi Khamis, mengisytiharkan perang dan melancarkan ‘operasi ketenteraan khas’ terhadap bekas negara jiran Sovietnya itu.

Malah sebaik arahan tersebut dikeluarkan, media antarabangsa melaporkan sudah terdengar letupan bom dan tembakan senjata api termasuk di bandar Kiev menandakan operasi ketenteraan sudah bermula.

Memandangkan konflik ini berlaku jauh di Eropah Timur, adakah ianya tidak akan memberikan kesan negara lain termasuk di Asia khususnya Malaysia?

Keamanan – MH17 menjadi bukti

Mungkin ramai yang terlupa, konflik Crimea yang berlaku di antara dua negara inilah yang menyebabkan terhempasnya pesawat komersial Malaysia Airlines, MH17 pada 17 Julai 2014 selepas ditembak jatuh dengan peluru berpandu dari kawasan yang bergolak.

Foto : TRP

Tragedi di wilayah Donetsk (yang sudah diiktiraf sebagai Donetsk People’s Republic oleh Rusia dua hari lalu) telah mengorbankan semua 298 penumpang dan anak kapal MH17 di mana 43 dari mereka adalah rakyat Malaysia.

Malah perang Rusia-Ukraine ini mengingatkan kita kepada Tragedi Pencerobohan Lahad Datu, Sabah yang berlaku pada 2013 sehingga menyebabkan ramai perwira negara gugur mempertahankan kedaulatan negara daripada dicerobohi pengganas Sulu.

Keselamatan orang awam

Apa yang dirasakan kita pada waktu itu pasti sama dengan apa yang dirasakan rakyat Ukraine ketika ini khususnya di kawasan yang sedang meruncing.

Tolak tepi siapa di pihak yang benar dan siapa yang salah, (ada dakwaan mengatakan punca ketegangan tercetus ekoran peranan AS selain tindakan oleh pihak Ukraine untuk menyertai NATO) namun tindakan menceroboh dan mengancam kedaulatan sebuah negara merdeka hanya akan mengancam nyawa rakyat yang tidak bersalah.

Malah disaat pencerobohan ini berlaku masih ada rakyat Malaysia yang terkandas di Ukraine.

[Terkini] : Wisma Putra baru sahaja mengesahkan semua 11 rakyat Malaysia di Ukraine iaitu 8 di Kiev dan 3 di luar pusat bandar dalam keadaaan selamat. Usaha membawa pulang mereka sedang digerakkan.

Kesan inflasi kepada negara

Bukan itu sahaja, menurut penganalisis kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Shahriman Lockman, rakyat Malaysia harus memberikan perhatian kepada isu ini kerana ia mampu memberikan kesan inflasi kepada negara.

Ini kerana konflik ini akan menyebabkan lonjakan harga minyak sekaligus membawa kepada kenaikan inflasi. Malah ia terbukti apabila harga minyak mentah dunia melonjak melepasi paras AS$100 setong sebaik pengisytiharan perang diumumkan Putin di televisyen.

“Rakyat Malaysia harus ambil tahu kerana isu ini akan mengakibatkan lonjakan harga minyak seterusnya menyebabkan berlaku inflasi. Minyak mentah Brent sudah melepasi paras US$100.”

Shahriman Lockman,

Buat makluman anda semua kenaikan harga minyak ini merupakan yang tertinggi dan yang pertama sejak konflik Crimea pada tahun 2014.

Harus diingatkan Rusia mempunyai rizab terbesar dan merupakan pengeksport gas asli terbesar di dunia.

Foto : Trading Economics

Harga petrol juga meningkat

Dengan kenaikan ini juga bermakna harga petrol semasa di Malaysia kita akan turut meningkat. Ini kerana turun dan naik harga minyak di negara kita bergantung kepada dua faktor iaitu harga minyak mentah dunia dan juga kadar tukaran mata wang Ringgit.

Sekiraya berlaku peningkatan, ia pastinya akan memberikan kesan kepada kos pengangkutan dan perniagaan dan mungkin boleh menyebabkan berlaku kenaikan harga barangan yang sudah semakin menaik.

Tambah Shahriman, tindakan awal pencerobohan yang dilakukan ini juga berpotensi mencetus sesuatu yang lebih besar dan melarat ke wilayah berdekatan kita.

“Kita tak boleh benarkan kuasa besar untuk menuntut wilayah atas dasar sejarah dan bangsa. Tiada kesudahan untuk semua ini,” tegas Shahriman.

Setakat artikel ini ditulis, jurucakap kerajaan Ukraine mendedahkan sudah terdapat 40 korban dari kalangan askar mereka. Namun tiada sebarang maklumat mengenai angka korban dari pihak Rusia.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.