Wanita Sebak, ‘Bibik’ Sanggup Tukar Duit Rupiah Ke MYR Semata-mata Nak Belanja Makan [Video]
Menurut wanita itu, dia bagaimanapun tidak sampai hati membiarkan pembantu rumahnya itu menghabiskan wang membelanja mereka sekeluarga.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebagai umat Islam, kita harus percaya bahawa rezeki yang diberikan oleh Allah SWT itu sangat luas dan datang dengan pelbagai cara, bukan hanya wang ringit semata-mata.
Ada yang dikurniakan kesihatan yang sihat walaupun hidup bersederhana dan ada juga yang dikelilingi insan-insan yang baik serta sering membantu dengan seikhlas hati.
Wanita sebak, dapat bibik berhati mulia siap nak belanja majikan makan di luar
Baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan seorang wanita berasa sebak apabila dikurniakan rezeki seorang pembantu rumah yang baik dan berhati mulia.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya @yaya.toya, wanita yang juga seorang usahawan produk kecantikan itu berkata pembantu rumahnya yang lebih mesra disapa sebagai bibik ingin membelanja dia dan keluarganya makan di luar.
“Malam tadi dia (bibik) ajak saya keluar makan di luar dia nak belanja, mulanya saya tertanya-tanya mana lah bibik ni dapat duit.
“Memang dia dapat duit raya dari suami saya dan keluarga saya tapi saya dah suruh dia simpan duitnya,” katanya.
Bibik sanggup guna duit dari Indonesia tukar menjadi Ringgit Malaysia
Menurutnya, pembantu rumah tersebut bagaimanapun ingin membelanja dia sekeluarga dengan menggunakan wang yang dibawa daripada negara asalnya, Indonesia.
Lebih menyentuh hati, wanita terbabit memaklumkan pembantu rumahnya itu juga sanggup menukarkan wata wang Rupiah itu menjadi Ringgit Malaysia (MYR) agar boleh digunakan di negara ini.
Majikan tak sampai hati biar bibik habiskan wang belanjanya makan
Jelas wanita itu lagi, dia bagaimanapun tidak sampai hati membiarkan bibiknya itu menghabiskan wang membelanja mereka sekeluarga.
“Allah kirimkan bibik yang baik pun saya bersyukur sangat. Terima kasih sudah bantu saya dan keluarga banyak sangat.
“Nanti saya kongsikan video betapa pantasnya dia bekerja dan sampai malam pun rajin masih bekerja, bibik pun sebahagian dari keluarga kita,” katanya lagi.
Memindai ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial turut berasa sebak dengan kebaikan yang ditunjukkan oleh pembantu rumah tersebut.
Segelintir netizen juga turut berkongsi pengalaman mereka mendapat pembantu rumah yang baik sedemekian.