fbpx
Now Reading
Wanita Minta Khairul Aming Letak Sarikata Dalam Video Masakan Untuk OKU Pekak

Wanita Minta Khairul Aming Letak Sarikata Dalam Video Masakan Untuk OKU Pekak

Cadangan wanita OKU ini sememangnya satu saranan yang baik dan patut dipraktikkan oleh semua yang gemar membuat video masakan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Apabila tiba sahaja bulan Ramadan selain teruja dengan kemeriahan bulan mulia ini, mata kita juga turut dijamu dengan pelbagai resepi-resepi di media sosial.

Tidak dinafikan juga pada bulan puasa ini warganet pastinya tidak sabar menanti 30 jenis resepi yang bakal disajikan oleh seorang usahawan terkenal iaitu Khairul Aming.

Khairul Aming yang sebelum ini terkenal dengan video masakannya, telah membawa sedikit kelainan pada tahun ini apabila dia akan berkongsikan 30 resepi berbuka puasa, 30 resepi sahur serta memasak secara langsung di Instagram Live pada pukul 3 petang.

Walau bagaimanapun, seorang wanita di laman media sosial Twitter telah meminta Khairul Aming untuk meletakkan sarikata Bahasa Melayu di dalam video resepinya.

Wanita yang dikenali sebagai Anissa Jailani, 24, itu merupakan seorang warga Orang Kurang Upaya (OKU) pekak, dan turut menyatakan dengan meletakkan sarikata di dalam video berkenaan ia mudah difahami oleh orang pekak.

Menurutnya, dia baru sahaja menjadi pengikut Khairul Aming dan seorang yang suka menonton video masakan.

“Saya baru follow dia, baru minat dia. Saya suka tengok video masakan dan terlihat video Khairul Aming tanpa sarikata jadi saya buat carian resepi.

“Saya rasa nak tegur dia untuk letakkan sari kata di setiap video beliau, untuk orang pekak,” ujar Anissa kepada BuzzKini.

Menurutnya, kerana tidak mempunyai sarikata dia terpaksa bertanya kepada orang sekeliling untuk menerangkan semula informasi disampaikan dalam video tersebut.

Tambahnya, dia turut meminati video masakan yang dimuat naik oleh Che Nom kerana dalam video tersebut turut mempunyai sarikata yang boleh difahami.

Dalam masa yang sama, Anissa berkata cadangan ini merupakan salah satu usahanya kepada golongan OKU pekak agar dapat memudahkan mereka dalam memahami video-video yang dimasukkan di dalam media sosial.

Dia bagaimanapun turut menasihatkan individu-individu yang gemar membuat video masakan di media sosial untuk meletakkan sari kata untuk orang pekak.

“Saya nak nasihat dekat sesiapa yang buat video masak di YouTube atau di mana-mana laman media sosial, jangan lupa letak sari kata untuk orang pekak.

“Senang nak faham,” katanya lagi.

Ciapan Anissa itu turut dipersetujui oleh orang ramai dan ada yang menyatakan dengan meletakkan sari kata ia juga mudah untuk difahami oleh mereka yang tidak gemar untuk membuka bunyi.

Sebagai info, Ciknis sebelum ini pernah membuka kelas bahasa isyarat untuk orang ramai. Namun kini dia hanya mengajar dan berkongsi cara mengunakan sign language di akaun TikTok miliknya.

@anissa.jailani_

Kenal kan huruf dalam sign. moga bermanfaat.😊

♬ Senyummu – DJ Kemarin

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.