fbpx
Now Reading
Khairul Aming & Sofyank Buat Kolaborasi Bersama Kongsi Perkara Yang Berlaku Di Palestin [Video]

Khairul Aming & Sofyank Buat Kolaborasi Bersama Kongsi Perkara Yang Berlaku Di Palestin [Video]

Dalam video tersebut, Khairul Aming dan Sofyank turut menunjukkan data nyawa rakyat di Palestin yang terkorban serta kemusnahan yang berlaku di negara timur tengah itu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui konflik yang berlaku di antara Palestin dan Israel sejak 7 Oktober tahun lalu masih lagi belum berakhir.

Perkara yang berlaku di Palestin ini secara tidak langsung telah mendapat perhatian dunia yang meminta agar gencatan senjata dilakukan kerana tidak sanggup melihat lebih banyak nyawa yang terkorban.

Oleh itu ramai yang menunjukkan solidariti mereka dengan memboikot beberapa produk atau jenama yang secara terang-terangan menunjukkan sokongan kepada rejim Zionis.

Tidak kurang juga ada yang bersuara di media sosial sebagai salah satu cara untuk memberitahu orang ramai apa yang sedang berlaku di sana.

Khairul Aming & Sofyank berkolaborasi jelaskan apa yang berlaku di Palestin

Perkara sama turut dilakukan oleh influencer, Khairul Aming apabila tampil berkolaborasi bersama artis VFX Malaysia, Sofyank dalam satu video di media sosial berkongsi tentang perkara yang berlaku di Palestin.

Menerusi video tersebut, mereka turut menunjukan peta Palestin pada tahun 1917 sebelum berlakunya peristiwa Nakba pada 1948 yang telah banyak mengorbankan nyawa, kecederaan termasuklah ada yang dihalau keluar dari rumah.

“Sepanjang tempoh 76 tahun daripada dulu sampai sekarang ini dah lebih daripada 77% tanah Palestin dirampas oleh Israel,” katanya dalam video berkenaan.

Turut buat replika dan suntingan VFX jelaskan situasi sebenar untuk mudahkan ramai faham

Malah mereka turut menunjukkan beberapa replika dan juga gabungan suntingan video sebagai contoh untuk mengambarkan situasi yang berlaku di sana selain turut memudahkan orang ramai untuk memahaminya.

Khairul Aming turut menjelaskan secara terperinci setiap kawasan rakyat di Palestin bermula dari Utara Gaza, Bandar Gaza, Dair El Balah, Khan Yunis sehingga ke Rafah iaitu kawasan akhir yang dikatakan ‘lokasi selamat’ untuk mereka berlindung.

Malah dianggarkan sekitar 1.5 juta penduduk negara berkenaan terpaksa berpindah ke Rafah untuk berlindung namun kawasan tersebut turut diserang oleh rejim Zionis.

Rakyat terpaksa berpindah untuk selamatkan diri

Jelas Khairul Aming lagi meskipun disuruh berpindah ke Rafah namun masih ada segelintir rakyat Palestin yang berada di daerah lain kerana tidak berkemampuan untuk berpindah.

“Rafah ini dia bukan tempat untuk tampung orang ramai sebelum ini lokasi ini hanya boleh menampung 275,000 orang sahaja dan saiznya 12 kali ganda lebih kecil daripada negeri Perlis (Malaysia).”

Kongsi data nyawa yang terkorban serta kemusnahan yang berlaku di Gaza

Dalam video tersebut mereka turut mengeluarkan data anggaran rakyat yang terkorban, cedera dan tahap kerosakan lokasi di sana sepanjang 7 bulan konflik ini berlaku khususnya di bumi Gaza.

“Berdasarkan data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Palestin melalui Al Jazeera pada tarikh 14 Mei dilaporkan yang lebih 35,173 nyawa telah pun syahid (meninggal dunia) dan hampir separuh dari jumlah tersebut terdiri daripada kanak-kanak iaitu seramai 14,500 orang.

“Dilaporkan juga seramai 79,061 orang masih lagi cedera dan lebih daripada 10,000 orang masih lagi hilang. Kita kena ingat angka ini adalah jumlah yang mereka berjaya kesan, angka sebenar lagi tinggi dan bertambah hari demi hari sewaktu korang tengok video ni,” ujar influencer yang terkenal dengan video masakan itu.

Pusat perubatan akan lumpuh, perlu ambil masa lama untuk baik pulih

Katanya lagi sewaktu menjelaskan tentang kemusnahan yang berlaku di negara timur tengah, sebanyak 50% rumah, 80% kemudahan komersial , 73% sekolah, 83% telaga air telah musnah dan hampir semua pusat perubatan akan lumpuh.

Selain itu, dia turut mengatakan Gaza memerlukan masa yang sangat lama untuk dipulihkan semula. Khairul Aming juga memberikan fokus kepada situasi yang sedang berlaku di Rafah dan Jabalia.

Khairul Aming menjelaskan rejim Zionis turut meminta penduduk di Rafah untuk berpindah sekali lagi ke Al-Mawasi iaitu kawasan yang terletak di tepi pantai namun keluasannya kecil serta tidak dapat menampung jumlah penduduk yang ramai. Selain itu, bekalan asas juga tidak mencukupi.

@khairulaming

Semoga kemerdekaan milik 🍉🤲. Ini kolaborasi pertama KA dengan @Sofyank96 dan kami nak hasilkan video infografik untuk terangkan apa yang berlaku di 🍉 adalah bukan konflik semata-mata. Video ni panjang sikit, 8 minit. Tapi kami harap dapat bantu sebarkan awareness untuk saudara kita di sana 🙏🏽🍉

♬ original sound – Khairulaming – Khairulaming

Rakyat terpaksa berpindah dalam keadaan menyedihkan

Apa yang lebih menyedihkan, rakyat di sana terpaksa berpindah banyak kali dan dalam keadaan yang lapar, kesakitan serta kepenatan hari demi hari untuk menyelamatkan diri.

“Sekarang Israel dah jalankan serangan lagi sekali ke bahagian utara Gaza iaitu secara spesifik di bahagian kem Jabalia itu, walaupun dia orang dah lancarkan serangan ke utara Gaza sebelum ini.”

Khairul Aming dan Sofyank turut menunjukkan bagaimana sekatan dilakukan apabila bantuan keperluan dihantar untuk penduduk di Palestin. Mereka juga menunjukkan protes dan boikot yang dilakukan oleh seluruh dunia untuk meminta perkara ini dihentikan dan ia masih berterusan sehingga ke hari ini.

Minta orang ramai terus doakan rakyat di Palestin

Khairul Aming dalam masa sama meminta agar orang ramai untuk sentiasa mendoakan rakyat di sana serta mengucapkan terima kasih kepada Sofyank kerana telah menyediakan VFX info grafik untuk video berkenaan.

Melihat di ruangan balas ramai yang berterima kasih kepada mereka atas penjelasan terperinci yang diberikan. Malah ramai yang memaklumkan kini mereka lebih faham apa yang berlaku di Palestin.

Ramai juga meminta agar mereka memasukkan sari kata English bagi memudahkan mereka yang tidak fasih berbahasa Melayu untuk memahami video berkenaan.

“Boleh buat versi English, supaya lebih ramai orang luar yang faham isu Palestin”

“Memang betul influencer no satu Malaysia Khairul Aming ni. Detail betul dia jelaskan. Hebat anak muda!”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.