5 Ahli Keluarga Suspek Serang Balai Polis Ulu Tiram Ditahan Bawah SOSMA
Menurut Ketua Polis Negara, pihaknya turut menemui beberapa batang paip dipercayai untuk membuat pistol angin di rumah suspek.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada 17 Mei lalu, negara digemparkan dengan kejadian Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang diserang seorang lelaki menyebabkan dua anggota terbunuh manakala seorang lagi mengalami kecederaan.
Serangan yang berlaku pada pukul 2.54 pagi Jumaat itu juga menyebabkan suspek yang menyerang balai polis berkenaan maut di tempat kejadian akibat ditembak selepas menyerang anggota polis.
Baca Artikel Berkaitan: Balai Polis Ulu Tiram Diserang, 2 Anggota Maut & Seorang Cedera
5 ahli keluarga suspek ditahan semula di bawah SOSMA
Hari ini (24 Mei), lima ahli keluarga suspek yang ditahan berhubung kes serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru sebelum ini ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan tersebut diambil sejurus kelima-lima individu tersebut tamat reman hari ini.
“Apa yang telah disebut oleh saya sebelum ini disyaki bapa JI (jemaah Islamiah) adalah betul, saya kena maklum begitu untuk siasatan ke arah mana.
“Tetapi bila panggil saksi, kita dapati keluarga ini memang tidak bercampur dengan orang ramai dan anak tidak bersekolah,” katanya dipetik Kosmo.
Adik beradik suspek tiada pendidikan tinggi
Menurutnya, kesemua adik beradik suspek juga tidak mempunyai pendidikan tinggi dan hanya abang suspek sahaja yang bersekolah sehingga tingkatan lima.
“Anak terakhir perempuan tidak sekolah, suspek yang mati ditembak hanya sekolah sampai darjah empat, abang dia sampai tingkatan lima, kakaknya pula darjah enam, jadi fahaman dan ideologi dibawa (keluarga berkenaan) adalah fahaman ideologi radikal,” katanya lagi.
Polis temui beberapa batang paip untuk buat pistol angin di rumah suspek
Menurutnya lagi, seramai 27 saksi telah direkod keterangan berkaitan kes dan pemeriksaan polis turut menemui beberapa batang paip dipercayai untuk membuat pistol angin di rumah suspek.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata,” ujar Razarudin.
Suspek bukan anggota Jemaah Islamiyah (JI)
Suspek sebelum ini disyaki seorang anggota Jemaah Islamiyah (JI) berdasarkan siasatan awal polis dan sejarah mengaitkan bapanya yang juga bekas anggota organisasi berfahaman militant dan ekstremisme itu.
Pun begitu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan lanjut mendapati lelaki terbabit bukanlah anggota JI.
Baca Artikel Berkaitan: KPN Sahkan Suspek Kes Serangan Balai Polis Ulu Tiram Anggota JI, 7 Individu Ditahan
Baca Artikel Berkaitan: “Kubur Suspek Serang Balai Polis Ulu Tiram Perlu Dijauhkan Dari Yang Lain” – Jawatankuasa Fatwa Johor