Kes Salah Laku Oleh Anggota & Pegawai Ibarat ‘Menconteng Arang’ Ke Muka PDRM – KPN
Menurut KPN, Tan Sri Razarudin Hussain tindakan tegas perlu diambil setiap lapisan untuk mengelak daripada berlakunya lagi insiden-indsiden seperti salah laku itu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak kebelakangan ini, banyak kes jenayah yang didakwa membabitkan anggota dan pegawai polis. Malah setiap hari laporan yang diterima bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Perkara ini secara tidak langsung telah menjejaskan imej polis yang sepatutnya dilihat sebagai unit beruniform yang berintegriti serta berdisplin. Ini kerana, mereka tidak hanya bertanggungjawab menjaga masyarakat di negara ini tetapi keselamatan negara.
Kes yang berlaku membabitkan anggota dan pegawai polis disifatkan seperti ‘menconteng arang ke muka’ PDRM
Terbaharu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyifatkan anggota mahupun pegawai yang terlibat dengan kejadian salah laku hanya akan merosakkan reputasi. Malah ia turut akan membuatkan masyarakat kurang percaya terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sejak kebelakangan ini, tegas Razarudin beberapa kes yang berlaku belakangan ini diibaratkan seperti ‘menconteng arang ke muka’ PDRM.
“Sebagai warga pasukan yang memegang amanah, tindakan tegas perlu diambil oleh segenap lapisan untuk mengelak insiden-insiden sedemikian daripada berulang.
“Oleh itu, saya sekali lagi ingin mengulangi serta memberi peringatan kepada diri saya dan para penyelia di semua peringkat untuk bertanggungjawab dalam mengawal selia para pegawai serta anggota masing-masing dari semua sudut,” jelasnya, lapor Kosmo.
Antara kejadian salah laku yang dibuat adalah:
- Pegawai kanan polis ditahan didakwa terlibat kes bunuh kerana melanggar pelajar di Perak.
- Dua anggota didakwa terlibat kes rogol pelajar warga asing dalam kereta peronda di Selangor.
- Dua anggota ditahan didakwa terlibat kes samun di Terengganu.
- Lima pegawai ditahan didakwa miliki ketum di Melaka.
- Wang tunai ditemui dari seorang anggota ketika bertugas.
- Anggota disiasat didakwa simpan ‘angpau’ di Kuala Lumpur.
Tindakan tegas turut diambil kepada pegawai penyelia yang gagal
Tambah beliau, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana penyelia yang gagal dalam penyeliaan.
“Tindakan akan diambil seperti mana yang termaktub dalam Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib 1993.”
Ujarnya lagi, semua pasukan dalam unit beruniform itu hendaklah mengekalkan integriti dan menjadikannya sebagai budaya selain perlu menjiwai, menghayati serta membudayakan nilai integriti dalam seluruh aspek penugasan.
“Integriti yang utuh dan tata kelola yang baik akan menjadi benteng kepada kita daripada terjebak melakukan kemungkaran, sekali gus dapat mengecilkan serta menutup segala ruang dan peluang melakukan rasuah atau salah laku,” jelas beliau.