fbpx
Now Reading
Bukan Sekadar Sindrom Ramsay Hunt, Ini 3 Sebab Lain Yang Boleh Buat Wajah Menjadi Lumpuh

Bukan Sekadar Sindrom Ramsay Hunt, Ini 3 Sebab Lain Yang Boleh Buat Wajah Menjadi Lumpuh

Kelumpuhan pada wajah boleh disebabkan kegagalan fungsi saraf yang membawa signal dari otak ke otot muka atau sebaliknya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini heboh di media sosial tentang penyakit yang dialami penyanyi popstar dunia, Justin Bieber yang mengalami kelumpuhan sebelah wajahnya atau dipanggil Sindrom Ramsay Hunt.

Keadan itu memaksa dia untuk membatalkan beberapa siri konsert jelajah yang sudah dirancang sejak beberapa bulan lalu khususnya di Amerika Utara.

Namun setakat ini belum ada kemas kini mengenai pembatalan konsert di Malaysia yang sepatutnya berlangsung pada Oktober depan.

Baca artikel berkaitan:

Konsert Justin Bieber Live In Malaysia Pada Oktober 2022. Tiket Dijual Bermula Hari Ini!

Justin Bieber Cancels Shows Due To Facial Paralysis, Upcoming Malaysia Concert In Question

Sindrom Ramsay Hunt adalah gejala yang disebabkan oleh herpes zoster yang menjejaskan saraf muka.

Sindrom ini juga mempunyai nama lain, seperti geniculate zoster, herpes zoster oticus, dan herpes geniculate ganglionitis.

Namun, selain sindrom ini, masih terdapat beberapa penyakit lain yang mampu membuat sebahagian otot atau keduanya di bahagian wajah menjadi lumpuh.

Kelumpuhan pada wajah boleh disebabkan kegagalan fungsi saraf yang membawa signal dari otak ke otot muka atau sebaliknya.

Berikut merupakan beberapa penyakit atau keadaan yang boleh menyebabkan masalah kesihatan ini.

#1 Bell’s Palsy

Foto: Mayo Clinic

Bell’s Palsy adalah penyebab wajah menjadi lumpuh yang paling kerap berlaku.

Bell’s Palsy adalah satu kelemahan otot muka disebabkan oleh inflamasi pada urat muka. Inflamasi ini meningkat di sekitar saraf muka yang mana ia melalui tengkorak dari otak.

Inflamasi ini juga boleh menekan urat saraf. Sebahagian atau keseluruhan urat saraf akan berhenti berfungsi sehingga inflamasi berkurangan. Otot muka tidak akan berfungsi sekiranya tidak disaraf oleh urat muka.

Biasanya berlaku secara tiba-tiba, di sebelah muka. Ia paling kerap terjadi di antara umur 10 dan 40 tahun.

Faktor penyebabnya masih kurang jelas. Walau bagaimanapun kebanyakan kes adalah mungkin disebabkan oleh jangkitan virus.

Majoriti pesakit pulih dalam tempoh 2-3 bulan. Sesiapa sahaja boleh mendapatkan Bell’s palsy dan kesannya kepada kedua jenis jantina adalah sama.

#2 Angin Ahmar/Strok

Foto: MedicineNet

Angin ahmar atau Strok turut mampu membuat wajah menjadi lumpuh, biasanya ia memberi kesan di bahagian bawah wajah yang menyebabkan bibir menjadi senget.

Angin ahmar adalah satu keadaan di mana berlakunya penyempitan salur darah ke bahagian otak atau salur darah pecah. Sebahagian dari tisu otak akan rosak disebabkan kekurangan bekalan oksigen.

Apabila bahagian tisu otak tersebut rosak, ia akan mati lalu fungsi otak akan hilang dan di antara gejala yang ketara adalah pengsan, tidak sedarkan diri atau lemah sebahagian anggota.

Angin ahmar adalah penyakit berbahaya yang boleh mengakibatkan kecacatan seumur hidup.

Antara faktor berisiko yang boleh menyebabkan strok atau angin ahmar adalah seperti umur, jantina lelaki kerana lebih berisiko tinggi dan sejarah keluarga yang mempunyai penyakit ini.

#3 Tumor Otak

Foto: News Medical

Wajah boleh menjadi lumpuh disebabkan oleh tumor otak yang menekan saraf wajah. Berbeza dari penyakit yang lain, penyakit ini biasanya berkembang secara perlahan tanpa sebarang gejala.

Antara gejala tumor otak yang perlu diberi perhatian adalah seperti sakit kepala, kekejangan, dan mengalami gangguan pendengaran.

Selain itu, jangkitan dalam otak, penyakit lyme (infeksi yang disebarkan oleh kutu), dan trauma pada bayi ketika lahir juga boleh menyebabkan wajah menjadi lumpuh.

Sekiranya wajah menjadi lumpuh secara tiba-tiba, haruslah segera bertemu doktor terutamanya yang mengalami simptom sakit kepala, kekejangan atau mengalami gangguan penglihatan.

Doktor biasanya akan melakukan pemeriksaan fizikal dan mencadangkan beberapa ujian dilakukan untuk mengetahui penyebab masalah itu.

Terdapat beberapa faktor berisiko terhadap penyakit ini, antaranya ialah umur, ia kerap berlaku dikalangan mereka yang berusia.

Selain itu, pendedahan radiasi dan sistem ketahan badan yang rendah turut menjadi faktor berisiko menghidapi penyakit ini.

Kredit gambar: American Hospital

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.