fbpx
Now Reading
“Tak Perlu Hidap Masalah Mental Untuk Jumpa Ahli Terapi” – Kaunselor Kesihatan Mental

“Tak Perlu Hidap Masalah Mental Untuk Jumpa Ahli Terapi” – Kaunselor Kesihatan Mental

Terapi bukan hanya dikhaskan untuk merawat isu kesihatan mental, tetapi turut merangkumi masalah emosi dan fizikal.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Apabila disebut ahli terapi, orang ramai pasti mengaitkan profesion tersebut dengan masalah kesihatan mental.

Merujuk kepada kamus Britannica, ahli terapi merujuk kepada seseorang yang merawat penyakit tanpa menggunakan ubat-ubatan atau menjalankan pembedahan.

Untuk makluman, terdapat pelbagai bidang terapi yang merangkumi bagi masalah percakapan (speech therapy), fizikal (occupational therapy) dan emosi (psychotherapy).

Terapi fizikal boleh diberikan kepada seseorang yang mempunyai masalah pergerakan. (Sumber: Pexels)

Seorang kaunselor kesihatan mental, Mimie di laman X (@mimierhmn) baru-baru ini menerima soalan yang bertanyakan jika seseorang yang tidak mempunyai masalah mental boleh berjumpa dengan ahli terapi.

Menurut Mimie, soalan sedemikian sering diajukan kepadanya. Kaunselor itu kemudiannya berkongsi pendapat mengenai persoalan tersebut.

Boleh Ceritakan Masalah Harian Pada Ahli Terapi

Pertama sekali, dia merasakan bahawa seseorang individu tidak perlu menghidapi penyakit mental untuk berjumpa dengan ahli terapi.

Selain daripada berbincang tentang isu kesihatan mental, ahli terapi juga boleh membantu dalam mendengar masalah harian seperti hal berkaitan keluarga, hubungan, pendidikan dan sebagainya.

Ini kerana salah satu peranan ahli terapi adalah mendengar luahan pesakitnya yang perlu bercakap dengan seseorang.

Sumber: Unsplash

Jangan Jadikan Rakan & Keluarga Sebagai Ahli Terapi

Mimie juga mengingatkan kepada orang ramai bahawa sahabat handai dan ahli keluarga bukanlah ahli terapi kita. Hal ini kerana setiap individu di sekeliling kita mempunyai peranan tersendiri dan limitasi mereka dalam hidup kita.

Jelasnya, tindakan memahami dan memberi jawapan yang diperlukan seseorang adalah dua perkara yang berbeza. Orang terdekat dengan kita mungkin tidak dapat memberi nasihat yang benar-benar kita perlukan.

Dalam masa sama, setiap individu tersebut mempunyai kepakaran masing-masing. Oleh itu, untuk menceritakan masalah kita, seelok-eloknya berjumpalah dengan individu yang bersesuaian, yakni ahli terapi.

“Kalau demam jumpa doktor. Kalau nak berenang jumpa pelatih renang. Kalau nak bincangkan isu ‘invisible’, jumpa ahli terapi.”

Kaunselor Kesihatan Mental, Mimie
Sumber: Unsplash

Jangan Pandang Remeh Masalah Diri

Di samping itu, Mimie turut mengingatkan orang ramai agar tidak memandang remeh isu yang dihadapi mereka sehingga munculnya ayat seperti, “Hal saya biasa/ kecil sahaja”.

Malah, sesetengah orang mungkin tidak memahami perasaan mereka sendiri dan memerlukan bantuan pakar.

Dia menerangkan bahawa terdapat perbezaan antara perkara yang dianggap kecil atau remeh yang boleh diabaikan, dengan isu yang sentiasa timbul di fikiran dan tidak boleh dilupakan.

Oleh itu, ia adalah biasa bagi seseorang mendapatkan bantuan ahli terapi bagi emosi dan fikiran yang tidak boleh difahami mereka sendiri.

Kesihatan Rohani Penting Untuk Hidup Seimbang

Akhir sekali, dia menyebut tentang model ‘biopsychosocial-spiritual’ (BPSS) yang merangkumi interaksi antara aspek fizikal, psikologi, sosial dan rohani seseorang.

Menurutnya, hidup seseorang akan menjadi seimbang apabila mempunyai tubuh badan yang sihat, mental sejahtera, dapat berkomunikasi dengan baik, serta berasa cukup dengan keadaan dan diri sendiri.

Sekiranya salah satu daripada aspek ini berada dalam keadaan yang tidak elok, aspek lain mungkin akan turut terkesan.

Bagi seorang muslim, kesihatan rohani boleh dicapai dengan melakukan ibadah. (Sumber: Pexels)

Oleh itu, jika anda berasa tertekan atau hanya memerlukan seseorang untuk meluahkan masalah atau perasaan, carilah seorang ahli terapi.

Bak kata Mimie, “Kadang-kala kita memerlukan seorang sahabat, dan kadang-kala kita memerlukan seorang ahli terapi”.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.