fbpx
Now Reading
Catat 10.09 Saat Di Colombia, Azeem Fahmi Pecahkan Rekod 100m Kebangsaan [Video]

Catat 10.09 Saat Di Colombia, Azeem Fahmi Pecahkan Rekod 100m Kebangsaan [Video]

Azeem berjaya menamatkan larian di tempat pertama dengan catatan 10.09 saat pada saingan saringan lapan 100 m (meter) Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pelari pecut muda negara, Azeem Mohd. Fahmi membuktikan kehebatannya apabila berjaya menamatkan larian di tempat pertama dengan catatan 10.09 saat dalam saingan saringan lapan 100 m (meter) Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia.

Pencapaian itu sekaligus meleburkan rekod 100 meter (m) kebangsaan yang dilakukan jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Kuching, Sarawak beberapa tahun yang lalu.

Menerusi video yang dimuatnaik World Athletics pada awal pagi tadi (2 Ogos), Azeem Fahmi dilihat dengan mudah meninggalkan pesaingnya untuk menempah tiket ke separuh akhir yang dijadual berlangsung awal pagi Rabu.

Larian 10.09 saat yang dilakukan Azeem menyaksikan dia kini berada di tempat kedua dari segi catatan masa selepas pelari Botswana, Letsile Tebogo 19, berjaya menamatkan saingan dalam saringan tiga dengan 10 saat untuk memecahkan rekod kejohanan.

Selain Azeem, atlet Jepun, Hiroki Yanagita yang berada di tempat kedua dengan masa 10.24s turut layak ke separuh akhir.

Sebagai info, Azeem sebelum ini pernah diiktiraf sebagai remaja terpantas di dunia untuk peringkat umur bawah 16 tahun (B16) dalam acara 200 meter (m).

Ianya selepas kejayaan Azeem melakukan catatan masa 21.24 saat (s) dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) yang berlangsung di Johor pada April 2019.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.