Anak Suka Main Gajet? Ketahui 10 Bahaya Penggunaan Gajet Pada Si Kecil
Antara bahaya gajet kepada anak adalah mereka mungkin berisiko menjadi obesiti kerana kurangnya aktiviti fizikal.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Penggunaan gajet di kalangan anak kecil bukanlah suatu perkara yang luar biasa.
Tidak dinafikan gajet sedikit sebanyak dapat membantu kanak-kanak dalam mempelajari sesuatu perkara sebagai contoh menyanyi, bercakap dan sebagainya.
Namun selain mempunyai kebaikan dan manfaat ia juga turut terdapat keburukan sekiranya digunakan secara berlebihan oleh kanak-kanak yang masih kecil.
Perkara ini turut dikongsikan di Twitter oleh seorang pengamal perubatan iaitu Dr Samhan yang menyenaraikan 10 jenis bahaya gajet kepada anak.
Sebagai ibu bapa atau bakal menjadi ibu bapa mungkin ini boleh menjadi rujukan bagi penggunaan gajet pada anak anda kelak.
Tanpa membuang masa jom kami kongsikan apa 10 bahaya gajet pada anak itu.
#1 Tumbesaran otak anak terbantut
Menurut Dr Samhan merujuk pada kajian yang dilakukan oleh Universiti of Washington, sebelum kanak-kanak boleh bercakap otak mereka membesar tiga kali ganda dan banyak proses pembelajaran akan berlaku sebelum mereka menginjak ke usia lima tahun.
Oleh itu, penggunaan gajet tidak diperlukan dalam perkembangan otak kanak-kanak dan boleh dilakukan melalui percakapan seperti interaksi dengan mereka serta bacakan buku.
#2 Gangguan sistem kongnitif
Ujarnya, America Academy of Pediatrics (AAP) menyatakan tidak ada rancangan pendidikan bagi kanak-kanak di bawah dua tahun.
Ini kerana mereka belum mempunyai keupayaan kognitif bagi memahami ilmu tersebut. Malah ia juga boleh menggangu proses kanak-kanak untuk mula bercakap kerana masa berborak mereka antara ibu bapa dan anak akan terganggu.
#3 Pekembangan fizikal terbantut
John Ratey iaitu seorang doktor dari Harvard dalam buku berjudul Spark: The New Revolutionary Science of Exercise and the Brain berkata kelebihan sekiranya bermain selama 10 minit aktiviti fizikal boleh mengubah cara otak berfungsi.
Namun jika diamati sekarang mungkin ada segelintir Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang akan menghabiskan lebih banyak masa mereka dengan menghadap skrin dari bermain di luar rumah mereka.
#4 Sikap anak lebih agresif
Sikap anak kecil mungkin boleh menjadi sedikit agresif dan ini mungkin diadaptasi melalui apa yang dilihat oleh mereka di atas talian.
Seperti yang kita maklum, adakalanya sesetengah permainan yang terdapat di internet turut menunjukkan seks, pembunuhan, penyeksaan dan kecacatan di mana secara tidak langsung membuatkan si kecil menjadi ganas serta agresif.
#5 Sukar tidur
Tahukah anda bahawa skrin telefon mengeluarkan bluelight yang boleh menggangu kepada pengeluaran hormon melatonin iaitu sejenis hormon yang mengawal waktu tidur dan bangun kita.
Oleh itu, Prof Dr Muhaya iaitu seorang pakar mata di Malaysia mencadangkan agar satu jam sebelum waktu tidur jauhkan anak-anak dari sebarang gajet agar mereka boleh mendapatkan tidur yang berkualiti.
#6 Obesiti
Penggunaan gajet sudah tentunya akan membuatkan seseorang itu tidak perlu bergerak banyak. Oleh itu, ia sedikit sebanyak turut memberikan risiko apabila anak kecil anda mungkin boleh menjadi obesiti kerana kurangnya aktiviti fizikal.
#7 Kurang bersosial
Jika sudah seronok dengan apa yang berada di alam maya sudah tentu mereka tidak menghiraukan apa yang berlaku di sekeliling.
Malah ada yang tidak menghiraukan sesiapa yang mendekati mereka atau mungkin jika dipanggil anak tidak atau kurang memberi respon kerana tidak dengar akan panggilan tersebut.
#8 Risiko barah otak
Radiasi telefon diklasifikasan sebagai “Kemungkinan Karsinogenik Terhadap Manusia” oleh World Health Organization (WHO).
Apa yang lebih teruk, kanak-kanak menyerap lebih 60% radiasi ke dalam otak disebabkan kulit otak, tisu dan tulang yang terlalu nipis.
#9 Gangguan psikologi
Anak kecil yang meluangkan masa lebih dari 32 jam dengan bermain gajet atau media lain berisiko untuk mengalami masalah psikologi seperti kemurungan, kecemasan, defisit perhatian serta tingkah laku yang bermasalah.
#10 Rosak penglihatan
Apa yang paling ditakuti jika penggunaan gajet ini tanpa kawalan yang ketat ia juga boleh merosakkan organ badan seperti mata apabila ia boleh menyebabkan penglihatan menjadi kabur, mata kering serta rosak saraf mata disebabkan sinar UV dari telefon bimbit atau sebagainya.
Pada pendapat penulis, penggunaan gajet adalah tidak salah namun haruslah berpada-pada. Ibu bapa perlu adakan garis panduan dan juga limit masa pada penggunaan anak selain memantau setiap kandungan yang dilihat oleh mereka.