AirAsia X Jadi Satu-Satunya Penerbangan Tawar Perkhidmatan Terus Dari KL Ke Queensland
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail penerbangan semula syarikat itu ke Queensland merupakan detik penting buat AAX kerana ia merupakan laluan pertamanya yang dilancarkan pada November 2007.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tidak dinafikan Covid-19 yang melanda dunia sebelum ini telah menyebabkan banyak sektor perniagaan tidak dapat dijalankan seperti biasa termasuklah pelancongan.
Namun, seiring masa berjalan pandemik ini telah dapat ditangani dengan baik oleh setiap negara dan ekonomi juga telah kembali rancak. Malah rata-rata penduduk dunia kini juga telah mula mengembara dan melancong ke negara luar seperti sebelumnya.
AirAsia X sambung semula perkhidmatan penerbangan ke Gold Coast lepas 3 tahun
Tidak melepaskan peluang itu, AirAsia X (AAX) iaitu syarikat penerbangan tambang rendah turut menyambung semula perkhidmatan penerbangan pertamanya ke Gold Coast, Queensland, Australia selepas beberapa tahun terhenti disebabkan pandemik.
Penerbangan sulung dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) jam 11.25 malam, 31 Mac waktu Malaysia telah selamat mendarat di Gold Coast pada jam 9.25 pagi waktu tempatan.
Memandangkan ia merupakan penerbangan AAX yang pertama selepas pandemik, para tetamu yang menaiki pesawat ini turut diraikan dengan penuh meriah sebelum serta semasa ketibaan mereka ke negara kanggaru ini.
Satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan perjalanan dari Malaysia ke Queensland
Apa yang lebih menarik ia merupakan laluan penerbangan keempat AAX ke Australia dan ia secara tidak langsung memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka yang menghubungkan negara tersebut ke destinasi utama Asia.
Bukan itu sahaja, AAX ini juga menjadi satu-satunya syarikat penerbangan yang terbang secara terus dari Malaysia ke Queensland.
Air Asia X komited untuk tingkatkan penerbangan ke Gold Coast
Menteri Pelancongan, Inovasi dan Sukan di Queensland, Stirling Hinchliffe turut menjangkakan syarikat tersebut bakal menjana sehingga AUD45.6 juta (RM134.50 juta) untuk ekonomi pelancongan di Gold Coast.
“Perkhidmatan terus dari Kuala Lumpur (KL) ini telah disokong oleh kerajaan Palaszcuk bernilai AUD200 juta (RM590.10 juta) dengan kerjasama Lapangan Terbang Gold Coast.
“Kami menyokong AirAsia X kerana mereka komited untuk meningkatkan jadual penerbangan ke Gold Coast kepada lima hari seminggu menjelang akhir tahun ini.
“AirAsia X merupakan pelaburan hebat dalam ekonomi pelancongan Gold Coast dan perkhidmatan ini akan menyokong 450 peluang pekerjaan di Queensland.
“Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan pelancong Malaysia kembali ke Queensland untuk menikmati gaya hidup hebat dan pengalaman percutian bertaraf dunia di Gold Coast,” jelas menteri itu.
Merupakan destinasi yang istimewa kepada AAX
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail pula memberitahu penerbangan semula ini merupakan detik yang penting buat AAX memandangkan ia merupakan laluan pertama syarikat penerbangan itu iaitu pada November 2007.
Jelasnya, Gold Coast merupakan destinasi yang istimewa di hati mereka. Apa yang menjadikan ia lebih penting adalah AAX kini menjadi satu-satu syarikat penerbangan yang menghubungkan KL terus ke Gold Coast dan ke Queensland secara keseluruhan.
“Laluan baharu ini menyediakan pilihan perjalanan udara yang paling berpatutan untuk para tetamu yang ingin menerokai salah satu destinasi pelancongan paling popular di Australia. Selain itu, ia juga memudahkan warga Australia yang ingin melawat Malaysia atau meneruskan perjalanan ke Asia menerusi rangkaian global kami termasuk Singapura, Thailand, Vietnam, India serta banyak lagi.
“Penyambungan semula laluan ini, pada hari ini bukan sahaja akan menarik sebilangan besar pengunjung dari Malaysia dan negara Asia lain tetapi juga mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Australia.
“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan lapangan terbang dan pelancongan utama kami, terutamanya Lapangan Terbang Queensland dan Destination Gold Coast untuk menjadikan Gold Coast sebagai destinasi pelancongan pilihan berjuta-juta penduduk di Asia,” ujar Benyamin.
Katanya ketika ditemui media, setiap tahun jumlah penerbangan semakin bertambah dan setakat ini hanya mempunyai sembilan penerbangan ke Australia dan dijangka akan bertambah sebanyak 17 penerbangan menjelang Februari 2024. Manakala sehingga Disember tahun ini dijangka bertambah sebanyak 15 penerbangan.
“Australia kini mungkin menjadi satu sektor yang besar kepada kami. Kita mempunyai penerbangan ke Perth sebanyak lima kali seminggu, Melbourne tujuh kali seminggu dan Gold Coast pula tiga kali seminggu, sekiranya pasaran baik kita mungkin akan menambahnya kepada tujuh penerbangan seminggu,” ujarnya.
Tambang penerbangan dari KL – Gold Coast bermula dari RM699 (Sehala)
Bagi meraikan penyambungan semula perkhidmatan ini, AAX menawarkan tambang all-in dari KL dan Gold Coast bermula RM699 sehala bagi tempat duduk ekonomi manakala RM2,999 sehala bagi tempat duduk premium Flatbed.
Penyambungan perkhidmatan ini juga turut disambut dengan acara menarik di Pusat Membeli Belah Pacific Fair, Gold Coast pada 2 April 2023 bermula jam 11 pagi hingga 3 petang.
Malah terdapat bermacam-macam aktiviti serta hadiah menarik termasuklah peluang untuk memenangi penerbangan percuma tersedia untuk semua.