fbpx
Now Reading
Jarang Bersua, Aksi Pemandu Treler Berlari Peluk Anak Demi Lepas Rindu Undang Perhatian [Video]

Jarang Bersua, Aksi Pemandu Treler Berlari Peluk Anak Demi Lepas Rindu Undang Perhatian [Video]

Menurut Ghaffar video itu dirakam sebagai kenangan agar ia boleh dikenang oleh anak-anaknya apabila mereka sudah besar nanti.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Setiap yang bergelar ketua keluarga khususnya golongan bapa pasti sanggup melakukan apa sahaja demi mencari nafkah buat yang tersayang.

Ini kerana ia bukan sahaja satu tanggungjawab sebaliknya mereka mahu anak dan isteri hidup dalam keadaan selesa.

Malah ada yang tidak kisah untuk bekerja siang dan malam asal segala keperluan dapat diberikan.

Tular video bapa berlari peluk anak kerana rindu

Baru-baru ini, tular di media sosial video memaparkan seorang pemandu treler yang berlari-lari menaiki tangga sebuah jejantas untuk memeluk anaknya bagi melepaskan rindu.

Menerusi video yang dikongsikan oleh Muhammad Ghaffar di TikTok, kelihatan treler yang dibawanya telah melepasi sebuah jejantas sebelum berhenti di tepi jalan dan berlari menaiki tangga.

Turut kelihatan tiga orang kanak-kanak kecil iaitu anaknya, sedang melompat dan berlari memeluk Ghaffar sebaik sahaja dia sampai di atas jejantas. Ghaffar juga turut mendapatkan seorang lagi anak kecil yang merangkak untuk mendapatkannya.

Video dirakam ketika Ghaffar sedang menjalankan tugas

Memetik Berita Harian, momen itu dirakam semasa Ghaffar ingin menghantar bekalan sebelum bertindak untuk berhenti di tepi jalan dan bertemu dengan keluarganya yang telah dua hari tidak bersua.

“Kerjaya sebagai pemandu treler menuntut masa saya di jalan raya setiap hari sehingga kerap terlepas peluang melihat anak membesar.

“Saya anggap ini pengorbanan dalam membesarkan anak dan berharap mereka menghargainya dengan belajar bersungguh-sungguh,” kata bapa anak empat itu.

Sebelum ini tinggal berjauhan dan mempunyai masa terhad bersama keluarga

Menurut Ghaffar video terbabit dirakam adalah sebagai kenangan buat mereka semasa tinggal berjauhan pada dua tahun lalu kerana ketika itu dia hanya pulang ke kediaman dua minggu sekali disebabkan tanggungjawabnya pada kerja.

Jelas lelaki berusia 30 tahun itu, sebelum ini keluarganya itu menetap di Batu Pahat, Johor dan dia pula di Pasir Gudang untuk tuntutan kerja di sekitar Johor Bahru sebelum membuat keputusan untuk membawa keluarga berpindah ke Kota Masai pada dua tahun lepas.

“Sebelum ini saya pandu kargo dan hanya pulang ke rumah seminggu sekali saja sebelum saya ubah angin pandu treler tangki pula dan pulang ke rumah dua minggu sekali kerana order di sekitar Johor Bahru sementara keluarga di Batu Pahat.

“Setiap kali ada order di Melaka dan Senawang, Negeri Sembilan saya beritahu isteri (Nur Syarzurah D Wanis, 26) supaya dia dan anak tunggu di mana-mana lokasi untuk kami bertemu sekejap bagi melepaskan rindu.

“Sekarang kami tinggal bersama, cuma masa bersama keluarga masih kurang kadang-kadang dua hari sekali baru balik, tetapi saya usaha untuk pulang ke rumah juga biarpun bila sampai anak sudah tidur,” jelas Ghaffar.

Kenangan untuk diingat semula bila anak dah besar

Oleh itu, video di TikTok yang dimuat naiknya adalah kenangan untuk mengingatkan semula saat lalu ketika zaman berjauhan sebelum ini agar anak-anak boleh mengenangnya apabila sudah besar kelak.

“Kebetulan ketika itu isteri dan anak pulang ke kampung jadi kami curi masa berjumpa sekejap sebelum merakam video yang memang kisah sebenar keluarga kami sejak dulu.

“Saya terharu dan gembira baca komen di TikTok yang mendoakan keselamatan saya dan keluarga, malah ramai berkongsi pengalaman sama dalam pelbagai bidang kerja yang menuntut mereka tidak dapat pulang ke rumah selalu,” ujarnya lagi.

Ghaffar juga sempat menjelaskan bahawa dia kini bekerja secara konsep usahawan di mana tidak mempunyai gaji pokok dan pendapatan bergantung kepada jumlah tempahan bekalan yang dimilikinya.

“Alhamdulillah, rezeki order selalu dapat ketika ini dan sementara masih ada kudrat saya kekal bersemangat mencari nafkah untuk keluarga yang sentiasa faham kerja saya.

“Banyak saya korbankan terutama momen melihat mereka membesar. Kadang-kadang terasa terlalu cepat sangat mereka besar, bila balik anak merangkak kemudian balik lagi sudah berjalan dan bersekolah. Mungkin saya rasa seperti itu kerana jarang balik.”

Dah bawa lori sejak 2013

Ujarnya dia telah membawa lori bermula pada tahun 2013 iatiu lori ais sebelum bertukar kepada muatan tiga tan serta treler. Ini kerana pada waktu itu dia masih belajar di institut latihan kemahiran serta mengalami kesukaran untuk mendapat kerja di dalam industrinya disebabkan tidak mempunyai pengalaman.

“Saya bermula dengan menjadi kelindan lori dan dengan gaji itu saya kumpul duit untuk kahwin dan ambil Lesen Kenderaan Barangan (GDL). Saya pandu kargo pada 2015 dan sehingga kini rezeki masih sebagai pemandu treler,” jelas Ghaffar.

Semakan kami mendapati video itu telah dimuat naik oleh Ghaffar pada 24 Jun lalu namun ia menjadi tular semula di media sosial.

Berikut adalah beberapa komen yang diberikan oleh para netizen berhubung video tersebut.

“Inilah yang saya lalui bersama anak..”

“Bila yang merangkak tu masuk frame, acik tak bolehlah”

“Selain suami yang berjuang di jalanan, ada isteri yang sangat kuat mengurus rumahtangga dan anak-anak. Tahniah kalian, terus kuat ya!”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.