Kerana Idamkan iPhone 14, Pasangan Sanggup Jual Bayi Sendiri Usia 8 Bulan
Pasangan berkenaan dikatakan mahu mencipta reels di Instagram menggunakan iPhone 14 ketika melancong.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap pasangan yang berkahwin pastinya ingin memiliki cahaya mata.
Ini kerana, wajah comel itu dikatakan dapat menjadikan sebuah perkahwinan itu lebih bahagia dengan kehadirannya.
Malah ada yang sanggup menjalani pelbagai rawatan dan membayar puluhan ribu ringgit untuk mendapatkan zuriat.
Nekad jual anak sebab nak beli iPhone untuk buat reels
Namun berbeza dengan pasangan suami isteri di India ini apabila nekad menjual bayi mereka hanya kerana mahu membeli telefon pintar jenama iPhone 14, lapor India Times.
Perkara itu dilakukan oleh pasangan berkenaan kerana ingin mencipta Reels di Instagram apabila melancong ke Bengal.
Tindakan pasangan suami isteri yang berasal dari North 24, Parganas itu terbongkar selepas jiran mereka yang prihatin menyedari apabila keluarga itu berubah sikap dan bayi berusia lapan bulan itu telah hilang selama beberapa hari.
Namun suami isteri yang dikenali sebagai Jaydev Ghosh dan Sathi tidak kelihatan bimbang mahupun resah mengenainya.
Tambahan pula mereka secara tiba-tiba memiliki iPhone 14 di mana harganya bukan murah iaitu sekitar 100,00 rupee (lebih kurang RM5,529) dan perkara itu menjadi tanda tanya memandangkan keluarga itu mempunyai masalah kewangan.
Ibu tertekan lepas jual bayi sebab nak beli iPhone
Ketika polis menahan Sathi, dia kemudian mengaku berada dalam keadaan tertekan kerana dia dan suami telah bertindak menjual bayi mereka kerana ingin membeli iPhone untuk mencipta reels apabila melancong ke beberapa kawasan di Bengal nanti.
Apa yang lebih mengejutkan, sebelum menjual bayi berkenaan suaminya turut pernah mahu menjual anak perempuan yang berusia tujuh tahun.
Polis failkan kes terhadap pasangan suami isteri
Pihak polis kemudian memfailkan kes terhadap pasangan suami isteri itu, malah individu yang membeli bayi berkenaan, Priyanka Ghosh juga berdepan dengan tuduhan jenayah kerana memperdagangkan manusia.
Selain itu, polis juga giat menjalankan pencarian untuk mengesan Jaydev.
Siasatan bagaimanapun masih diteruskan dan butiran lanjut akan dikongsikan sebaik kes selesai disiasat.
Kejadian seperti itu bagaimanapun bukanlah pertama kali berlaku, malah terdapat beberapa keadaan di mana ibu dan bapa sanggup menjual anak mereka kerana mahukan keuntungan yang materialistik.