Guru Di Indonesia Tergamak Celup Tangan Pelajar Dalam Air Panas
Kejadian yang berlaku pada 2 Ogos lalu itu telah menyebabkan tangan pelajar berkenaan melepuh dan bengkak selepas tangannya dicelup dalam air mendidih.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seorang pelajar di Indonesia terpaksa menahan sakit akibat tindakan kejam guru yang didakwa mencelupkan tangannya ke dalam air mendidih.
Pelajar yang dikenali sebagai Fendi yang bersekolah di Sekolah Teknik Menengah (STM) Bina Karya Larantuka Kabupaten Flores Timur itu mengalami tangan melepuh dan bengkak.
Kejadian yang dilaporkan berlaku pada 2 Ogos lalu itu terjadi selepas selesai waktu persekolahan.
Awalnya dipanggil guru kerana dituduh mencuri satu paket kopi
Pada awalnya Fendi dan rakan-rakan telah dipanggil oleh guru yang dikenali sebagai Nelson pada pukul 7 waktu tempatan (Indonesia) kerana disyaki mencuri.
Guru berkenaan menuduh mereka mencungkil sebuah almari dan mengambil satu paket kopi berperisa mocha.
“Apa yang diberitahu dia (mangsa) dan beberapa rakan telah disyaki mencuri mocha. Cikgu itu kemudian memaksa mencelupkan tangan ke dalam air panas,” kata ahli keluarga pelajar itu, Emanuel lapor Tribunnews.
Malah guru itu turut menyatakan sekiranya mereka tidak melakukan hal tersebut maka tangan mereka akan selamat.
“Guru paksa dan mangsa adalah pelajar pertama namun apabila tangannya sudah cedera ia membuatkan rakan-rakan menjadi takut untuk mengikutinya,” ujarnya lagi.
Hubungi ibu bapa selepas dipaksa celup tangan dalam air panas
Menurutnya lagi, pelajar itu kemudian segera menghubungi ibu dan bapanya menerusi panggilan video di aplikasi WhatsApp untuk memaklumkan hal tersebut.
Ibu bapa mangsa pada keesokan harinya membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Flores Timur, Lptu Lasarus M. La’a memaklumkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kes terbabit.
“Laporan diterima semalam dan mangsa telah disiasat. Kami akan menyiasat mengikut undang-undang,” ujarnya.
Menerusi satu lagi laporan Tribunnews, guru tersebut mengakui perbuatannya. Dia menjelaskan terdapat 17 orang pelajar yang turut mencelup tangan mereka ke dalam air panas berkenaan.
Namun antara kesemua mereka hanya Fendi yang mengalami kecederaan selain turut memohon maaf kepada keluarga mangsa.
“Ada 17 siswa yang celup, dan Fendi menjadi orang kedua. Selepas saya periksa, anak lain tidak cedera, tapi hanya dia yang luka,” ungkapnya.