fbpx
Now Reading
Hanya Beza 167 Undi, Wakil PH DUN Sungai Kandis Buat Laporan Polis Lepas Ragui Kiraan Undi

Hanya Beza 167 Undi, Wakil PH DUN Sungai Kandis Buat Laporan Polis Lepas Ragui Kiraan Undi

Pengarah Pilihan Raya DUN Sungai Kandis PKR berkata pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan mengharapkan siasatan dilakukan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak semalam (14 Ogos), tular di media sosial rakaman yang memaparkan kekecohan di Pusat Pengiraan Undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N49 Sungai Kandis, Shah Alam.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila salah seorang wakil daripada calon Pakatan Harapan (PH) tidak berpuas hati selepas melihat jumlah kertas undi tidak dikembalikan yang dinyatakan berbeza dengan yang tertulis di dalam Borang 14.

Jentera Pilihan Raya PH buat laporan polis

Susulan itu, jentera Pilihan Raya PH bagi DUN terbabit telah tampil membuat laporan polis berkaitan isu kiraan undi yang didakwa meragukan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos lalu.

Laporan itu dibuat oleh Shaari Abdul Malik iaitu wakil kepada calon PH DUN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, petang semalam (14 Ogos).

Menurut Shaari, dia dan jentera parti terbabit mendakwa berlaku keraguan di pusat mengundi di DUN terbabit termasuk isu 1,946 undi yang tidak dikembalikan.

“Biarpun kita kalah dengan hanya 167 undi, perkara itu dianggap keraguan besar kerana semua undi yang dinyatakan tidak dimasukkan dalam peti undi.

“Kita ada membuat bantahan namun kurang dilayan dan perlu membuat laporan polis serta petisyen bagi tindakan lanjut,” katanya dipetik Harian Metro.

Pengarah Pilihan Raya pandang serius, harap siasatan dilakukan

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya DUN Sungai Kandis PKR, Syaril Showkat Ali berkata pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan mengharapkan siasatan dilakukan.

Kata Syaril, pihaknya sudah mendapatkan nasihat pengamal undang-undang bagi membuat laporan polis mengenai isu tersebut dan akan membuat tindakan susulan dengan petisyen di mahkamah.

Sebagai info, calon Perikatan Nasional (PN) Wan Dzahanurin Ahmad telah memenangi DUN Sungai Kandis dengan majoriti 167 undi mengalahkan Mohd Zawawi serta Afriena Shaqira Sariff dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada PRN Sabtu lalu.

Tular video sekumpulan individu tak puas hati kertas undi tidak dikembalikan berbeza

Terdahulu, tular di laman Twitter (X) sekumpulan individu menyuarakan ketidakpuasan hati apabila Borang 14 menyatakan jumlah kertas undi tidak dikembalikan adalah sebanyak 1,964 namun paparan skrin di pusat kiraan undi itu memaparkan jumlah hanya 110 undi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.