Gemar Minum Teh Tarik & Teh Ais, Pesakit Diabetes Kongsi Tabiat Pemakanan Sampai Kaki Kena Potong [Video]
Menurutnya, dia mula menghidap penyakit kencing manis seawal usia 30 tahun akibat daripada tabiatnya yang gemar minum teh ais dan teh tarik setiap hari tanpa mengira masa.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kencing manis atau diabetes merupakan satu keadaan di mana tahap gula dalam darah adalah tinggi dari normal. Ia berlaku apabila pankreas dalam badan tidak lagi mampu menghasilkan insulin sendiri.
Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, 3.9 juta penduduk Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas menghidap penyakit kencing manis.
Antara punca yang menyumbang kepada situasi ini adalah amalan gaya hidup yang tidak sihat antaranya seperti pengambilan makanan dan minuman yang tinggi gula serta tidak bersenam dan mengamalkan gaya hidup aktif.
Sekiranya tidak dikawal, penyakit ini boleh mendatangkan kesan buruk kepada individu malah lebih teruk apabila ada segelintir pesakit terpaksa dibuang kakinya.
Amalkan Gaya Hidup Tidak Sihat, Punca Hidap Kencing Manis
Begitulah yang dihadapi oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Azlan apabila kakinya terpaksa dipotong akibat daripada penyakit kencing manis yang dihidapinya.
Menerusi perkongsian video di akaun Tik Tok @kedidi_kakipalsu, Azlan yang berumur 55 tahun itu berkongsi tabiat pemakanan ketika muda hingga menyebabkan dia menghidap diabetes.
Menurutnya, dia mula menghidap penyakit berkenaan seawal usia 30 tahun. Segalanya berpunca akibat tabiat yang gemar minum teh ais dan teh tarik setiap hari tanpa mengira masa.
“Abang minat teh tarik. Pagi petang siang malam teh tarik, teh ais. Teh ais dalam kereta sentiasa ada.
“Habis je teh ais, sambung beli lagi,” katanya menerusi video berkenaan.
Malah, dia juga gemar minum air tin seperti Coca Cola dan turut mengamalkan gaya pemakanan yang tidak sihat seperti makan roti canai dan teh tarik pada pukul 3 hingga 4 pagi.
Penyakit Jadi Serius Hingga Kaki Terpaksa Dipotong
Penyakit diabetes yang dihidapi olehnya mula menjadi serius apabila dia mengalami luka di bahagian kaki akibat terkena paku.
“Kena paku, luka sikit. Lepas tu dia jadi rosak. Isi mereput menyebabkan ia berlubang.
“Doktor buat pembedahan, tapi tiada perubahan, akhirnya doktor suruh potong (kaki),” kata Azlan lagi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mengambil iktibar dan pengajaran dari kisah yang dikongsikan oleh Azlan.
Malah, ada di antara mereka yang mahu berkongsikan kisahnya kepada ahli keluarga terdekat sebagai pengajaran untuk tidak mengamalkan gaya pemakanan yang tidak sihat.
Namun, ada juga yang berpendapat tidak salah minum teh tarik dan teh ais, asalkan individu itu melakukan senaman dan mengamalkan gaya hidup aktif.
Nak Kena Tunjuk Video Ini Dekat Laki Aku, Sebab Dia Suka Minum Air Manis & Air Gas
Makan Manis Tak Apa, Janji Tubuh Banyak Bersenam & Berkebun
Zaman Sekarang Lagi Takut Banyak Jual Benda Manis & Cheese
Apa-Apa Minuman 3 Dalam 1 Atau Yang Guna Susu Pekat Memang Bahaya
Baca Artikel Berkaitan: Doktor Ini Kongsi 10 Tanda Anda Menghidap Pre-Diabetes [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Habit Lelaki Berusia 21 Tahun Makan Buah Tiap Malam Punca Hidap Kencing Manis