fbpx

Tular Zul Ariffin Ke Al-Ula, Ini Perkara Penting Yang Perlu Diketahui Tentang ‘Kota Larangan’ Ini

Kota Al-Ula atau digelar Madain Soleh bersempena nama Nabi Saleh AS dan ia dikatakan pernah diduduki oleh kaum Tsamud, sebelum mereka ditimpa bencana kerana ingkar perintah Allah SWT.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebelum ini, hangat di media sosial apabila orang ramai membincangkan mengenai pelakon lelaki terkenal, Zul Ariffin yang berkunjung ke Al-Ula.

Al-Ula yang kini merupakan satu tempat tarikan pelancongan terletak di wilayah utara Hijaz, Arab Saudi.

Zul melawati kota Al-Ula

Perkara itu dikongsikan oleh Zul di Instagram menerusi beberapa muat naik memaparkan dirinya sedang berada di kota tersebut.

Perkongsian pelakon itu secara tidak langsung telah mengundang perhatian ramai yang kurang bersetuju dengan keberadaannya di kota terbabit.

Ini kerana ramai beranggapan kota Al-Ula merupakan antara tempat yang dilaknat oleh Allah SWT untuk dikunjungi.

Harap dapat beri pengajaran pada orang ramai

Zul bagaimanapun dalam satu lagi muat naik memaklumkan dia mempelajari pelbagai perkara sepanjang berada di sana dan berharap agar semua dapat menjadikannya sebagai pengajaran.

“Alhamdulillah banyak belajar hari ini. Kawasan yang mempunyai banyak cerita mengelirukan, hanya dengan melawat dan meluangkan masa, mendengar dan mempelajarinya daripada rakyat tempatan anda akan mengetahui sejarah sebenar.

“Ia sebenarnya adalah bahagian penting di dalam sejarah agama Islam kita. Semoga kita semua ambil pengajaran,” tulisnya di ruang kapsyen.

Berikut antara komen diberikan oleh netizen dalam muat naik Zul:

“Kota larangan ni.. kenapalah pergi situ, kalau tak tahu takpelah. Kalau dah tahu Allahu”

“Allah SWT dan Nabi SAW dah larang untuk pergi tempat ni. Kalau terlalu pun Nabi suruh cepat-cepat pergi tanpa memandang kanan dan kiri.. tapi sayangnya masih lagi boleh duduk berselfie? Nak cabar siapa bang?


Apa itu kota Al-Ula dan Madain Soleh?

Secara ringkasnya Al Ula adalah sebuah berkeluasan 22,561km² yang sarat dengan sejarah dan terletak sejauh 300km di utara Madinah.

Di sekitar kota ini juga terdapat sebuah kawasan bernama AlHijr (Hegra) atau turut dikenali sebagai Madain Soleh. Namun jarak di antara antara AlHijr dan Al Ula juga bukanlah dekat sebaliknya sekitar 30km.

Kenapa ia diberikan nama Madain Soleh? Ini kerana kawasan AlHijr ini dikatakan sebagai kota Nabi Saleh AS bersama kaum Tsamud. Kawasan ini juga pernah diduduki oleh orang Nabatean kemudiannya.

Kisah kaum Tsamud

Sebut tentang kaum Tsamud pasti semua secara automatik teringat kisah bagaimana mereka dilaknat oleh Allah SWT sehingga disebutkan di dalam al-Quran beberapa kali untuk dijadikan pengajaran buat manusia.

Kaum Tsamud ini difahamkan hidup sekitar 3,000 tahun sebelum Masihi iaitu di antara zaman Nabi Nuh AS sehingga Nabi Musa AS.

Kaum Nabi Saleh AS ini mengamalkan ajaran pagan dan Allah SWT memerintahkan Baginda untuk menyebarkan dakwah ke kota Al-Ula.

Namun dakwah yang dibawa oleh Nabi Saleh AS tidak dihiraukan kaum Tsamud dan Allah SWT menurunkan bencana kepada individu yang tidak mengikut perintahNya.

Akhirnya hanya Baginda dan pengikutnya sahaja yang terselamat.

Firman Allah SWT: “Dan orang-orang yang zalim itu dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.” (Surah Hud, ayat 67)

Allah SWT berfirman: “Maka (masing-masing menerima azab dunianya) – adapun Thamud (kaum Nabi Soleh), maka mereka telah dibinasakan dengan (petir) yang melampau dahsyatnya. Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya, yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang.” (Surah Al-Haqqah, ayat 5-7).

Kota Al-Ula kini dapat pengiktirafan UNESCO, kini dijadikan sebagai tempat pelancongan

Di sebalik sejarah hitam kota berkenaan, status tapak warisan ini akhirnya telah mendapat pengiktirafan dari Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Bahkan kawasan sekitarnya khususnya Al Ula telah dibangunkan untuk menjadi tempat pelancongan selepas kerajaan Arab Saudi mula mengamalkan dasar terbuka.

Malah visa pelancongan turut ditawarkan sejak tahun 2019 lagi bagi menggalakkan industri pelancongan.

Iyalah, kawasan ini terkenal dengan gunung-ganangnya kerana kaum Nabatean atau Tsamud mempunyai kelebihan dalam memahat gunung bagi membina rumah serta makam dan menghasilkan ukiran yang cantik.

Menurut pengalaman diceritakan oleh seorang penulis Harian Metro yang berkesempatan ke sana terdapat ukiran pada batu yang berbentuk lukisan dengan simbol tulisan kuno kaum berkenaan.

Selain itu, kawasan ini turut dihiasi dengan pelbagai bentuk batu yang unik.

Apakah hukum melawat kota larangan atau tempat yang dilaknat oleh Allah SWT?

Tidak dinafikan adakalanya kawasan yang dilaknat ini menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada masyarakat yang ingin mengetahui lebih lagi mengenainya.

Menerusi semakan kami terdapat beberapa tempat yang dilarang dan dilaknat oleh Allah SWT seperti:

  • Laut Mati.
  • Laut Merah.
  • Kota Pompei.
  • Madain Soleh.
  • Wadi Muhassar atau Lembah Muhassir.
  • Negeri kaum ‘Ad terletak di utara Hadramaiut antara Yaman dan Oman.

Mungkin perkongsian orang lain membuatkan seseorang tidak puas dan mahu berkunjung ke kawasan terbabit untuk melihat sendiri tempat bersejarah ini.

Namun dalam pada itu, ada juga yang takut sekiranya ia boleh mendatangkan dosa memandangkan ia termasuk di dalam kawasan yang dilaknat oleh Allah SWT.

Menurut Harian Metro, hukum untuk melawat tempat yang dilaknat adalah makruh dan sebagai umat Islam tidak melawat ke tempat terbabit atau sekadar lalu sahaja untuk mengambil pengajaran kepada azab diturunkan oleh Allah SWT.

Pun begitu tidak dapat dipastikan adakah kisah Madain Soleh yang dilaknat Allah membuatkan keseluruhan kota Al Ula yang wujud pada masa kini tidak boleh dikunjungi.

Namun seorang mutawif, Raja Suhaimi yang menguruskan jemaah umrah ke Tanah Suci menyifatkan larangan itu hanyalah melibatkan kawasan AlHijr sahaja. Malah beliau menegaskan bukan semua kawasan Al Ula merupakan ‘kota larangan’ yakni kawasan yang dilaknat.

Baca artikel berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.