fbpx

Wajar Umat Islam Hindari Tempat Dilaknat Allah – Timbalan Mufti Negeri Sembilan

Menurut Timbalan Mufti, harus hukumnya untuk pergi ke tempat dilaknat Allah sekiranya ada keperluan khusus dengan syarat mendapat bimbingan pihak yang berilmu dan segera meninggalkan tempat itu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, kecoh di media sosial foto pelakon terkenal, Zul Ariffin yang berada di kota Al-Ula ketika berada di Tanah Suci.

Susulan itu, rata-rata pengguna media sosial memberi kecaman hebat kepada Zul Ariffin kerana disifatkan berada di kota yang dilaknat oleh Allah SWT itu.

Zul Ariffin kemudiannya menerusi satu lagi posting berkata, dia bersyukur kerana berjaya mempelajari tentang sejarah tempat tersebut dari orang tempatan.

“Ia sebenarnya adalah bahagian penting dalam sejarah Islam kita. Semoga kita jadikan pengajaran,” tulis Zul Ariffin.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Tular Zul Ariffin Ke Al-Ula, Ini Perkara Penting Yang Perlu Diketahui Tentang ‘Kota Larangan’ Ini

Namun persoalan yang timbul, apakah status umat Islam yang pergi ke mana-mana kota larangan sekiranya atas urusan tertentu yang tidak dapat dielakkan seperti mencari ilmu, bekerja dan sebagainya?

Sehubungan itu BuzzKini telah bertanya mengenai hukum memasuki kota yang dilaknat oleh Allah SWT kepada Pejabat Mufti Negeri Sembilan.

Wajar umat Islam hindari daripada berada di tempat dilaknat Allah SWT

Timbalan Mufti Negeri Sembilan, Sohibul Fadilah Ustaz Amran Awaluddin berkata, berdasarkan larangan daripada hadis Rasulullah SAW, maka sewajarnya umat Islam menghindari diri daripada berada di tempat-tempat yang dilaknat Allah SWT.

“Larangan tersebut bertujuan untuk mengelakkan umat Islam terjejas Aqidah dan terpengaruh dengan perbuatan mungkar yang dilakukan oleh umat terdahulu,” katanya.

Harus hukumnya sekiranya ada keperluan khusus

Namun menurutnya lagi, sekiranya ada keperluan khusus untuk pergi ke kawasan tersebut maka hukumnya adalah diharuskan dengan syarat mendapat bimbingan pihak yang berilmu dan segera meninggalkan tempat itu untuk mematuhi perintah Baginda Rasulullah SAW.

“Sebagai umat yang sayangkan Nabi, sewajarnya tidak mencari pelbagai alasan untuk mewajarkan tindakan sedemikian.

“Sesuai dengan hadis Nabi yang maksudnya, ambillah (lakukan) apa-apa perintah yang disuruh dan tinggalkan apa-apa dilarang.. Wallahualam,” katanya lagi.

Abdullah bin Umar RA menceritakan: “(Pada tahun ke-9 hijrah ketika dalam perjalanan ke Tabuk untuk mempertahankan Madinah daripada kemungkinan serangan tentera Rom) kami melalui kawasan al-Hijr (negeri kaum Thamud yang dimusnahkan ALLAH) bersama Rasulullah SAW.

Baginda lantas bersabda: “Jangan kalian masuk ke negeri kaum yang menzalimi diri mereka sendiri (yang akhirnya dimusnahkan ALLAH) melainkan dalam keadaan menangis bimbangkan azab yang pernah menimpa mereka akan turut menimpa kalian.” Kemudian baginda mempercepat langkahnya sehingga meninggalkan tempat itu. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Maka jelas di sini, meskipun kawasan tersebut dilaknat oleh Allah SWT dan dilarang Nabi untuk pergi, tetapi hukum sekiranya berada di sana tidaklah haram.

Makruh hukumnya untuk umat Islam pergi ke tempat dilaknat Allah SWT – UAI

Dalam pada itu, penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus atau lebih mesra disapa UAI turut memaklumkan bahawa hukum umat Islam pergi ke tempat yang dilaknat oleh Allah SWT adalah makruh.

Jelasnya, umat Islam perlu menjauhi tempat berkenaan atau sekadar melawat kawasan itu untuk mengambil pengajaran terhadap sesuatu sebab di atas azab Allah SWT.

UAI berkata demikian semasa diajukan soalan oleh seorang individu ketika majlis ceramah ‘Kemah Keming Awok Kite’ di Masjid Al-Ansar, Kem Sri Pantai, Kuala Nerus, Terengganu pada malam semalam (7 September).

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.