“Luar Sekolah, Dalam Kondo” – Guru Hias Bilik Majalah Seakan Kediaman Raih Pujian Ramai [Video]
Difahamkan, selain bilik majalah, guru terbabit turut menghiasi beberapa ruangan lain di sekolah berkenaan seperti bilik kesihatan, perpustakaan, koperasi, bilik SPBT dan sebagainya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Menjadi seorang guru di sekolah bukan tanggungjawab mudah, bukan sahaja perlu mengajar pelajar malah cara untuk memastikan mereka bersemangat ke sekolah juga harus difikirkan.
Antara cara yang paling kerap dilakukan oleh kebanyakan guru dalam menarik minat pelajar adalah dengan menghiasi kawasan sekolah dan kelas.
Jika sebelum ini tular di media sosial seorang guru wanita menghiasi bilik kelas pendidikan seni dengan mural bertemakan komik.
Kini tular pula seorang guru lelaki menggunakan kretivitinya menghias bilik majalah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kulai Besar di Kulai, Johor sehingga kelihatan seperti sebuah kediaman.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @sir_koja, kelihatan kawasan luar bilik majalah itu hanyalah seperti bilik darjah biasa.
Bagaimanapun, segalanya kelihatan memukau sebaik berada di hadapan pintu dan memasuki bilik berkenaan yang dihiasi dengan pelbagai perabot serta dekorasi.
“Luar sekolah, dalam kondo,” tulis guru lelaki terbabit di dalam video.
Turut kelihatan di dalam bilik majalah berkenaan rak berwarna putih yang disusun sepanjang kawasan dinding, sofa bersiaz kecil serta ruangan membuat air yang diletakkan bersama mesin pembuat kopi.
Selain bilik majalah, ruangan lain di dalam sekolah juga dihiasi guru berkenaan
Difahamkan, selain bilik majalah, guru terbabit turut menghiasi beberapa ruangan lain di sekolah berkenaan seperti bilik kesihatan, perpustakaan, koperasi, bilik SPBT (Skim Pinjaman Buku Teks) dan sebagainya.
Memindai ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial kagum melihat dekorasi yang dilakukan oleh warga pendidik itu.
Malah segelintir netizen mendakwa ia boleh dijadikan inspirasi buat para guru lain untuk berbuat perkara sama di sekolah masing-masing.