Netizen Malaysia Pertahankan Nasi Lemak Selepas Dikritik Tidak Sedap Oleh Pelancong Dari China
Menurut pelancong wanita berkenaan, nasi lemak yang dibeli di dalam pesawat itu tidak sedap selain sambal yang sukar untuk di makan dan kari yang terlalu banyak perasa.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Setiap kali menaiki pesawat antara perkara yang paling menarik sudah tentunya makanan yang bakal dihidangkan.
Ini kerana, rata-rata penerbangan mempunyai pilihan hidangan makanan yang berbeza-beza.
Malah perjalanan yang jauh sehingga memakan masa berjam-jam pastinya akan membuatkan anda berasa lapar maka pemilihan untuk makan di dalam pesawat adalah satu idea yang baik untuk dicuba.
Bukan hanya itu, anda juga mungkin berpeluang untuk merasai makanan dari sesebuah negara sebagai contoh Nasi Lemak yang merupakan makanan kegemaran rakyat Malaysia.
Pelancong China luah kecewa dengan hidangan nasi lemak dibeli atas pesawat
Walau bagaimanapun, seorang pelancong wanita dari Shanghai, China baru-baru ini telah meluahkan kekecewaannya terhadap hidangan makanan yang dibelinya di dalam pesawat ketika dalam perjalanan pulang dari Bali, Indonesia.
Perkara itu diluahkan oleh wanita berkenaan menerusi satu platform yang dikenali sebagai Xiao Hong Shu dengan menyatakan ia ‘makanan dalam pesawat yang tidak masuk akal’, lapor World Of Buzz.
Kata pelancong itu, dia telah membeli satu paket nasi lemak dengan harga RM22 namun apa yang menjadi perhatiannya bukan lah harga tersebut.
Tak sama seperti apa yang dilihat dalam gambar
Ujarnya, gambar kebiasaannya hanya untuk ilustrasi tetapi buat wanita tersebut nasi lemak yang dibeli ketika dalam pesawat itu jauh tersasar dari apa yang dilihat di dalam gambar.
Malah dia juga tidak gembira dengan rasa makanan tersebut.
“Makanan itu langsung tidak mempunyai kaitan dengan gambar ditunjukkan. Rasa makanannya tidak sedap, sambalnya sukar untuk dimakan dan kari pula terlalu banyak perasa,” luah pelancong itu.
Burger yang dibeli dari sebuah restoran makanan segera lebih berbaloi daripada nasi lemak
Pelancong tersebut dalam pada itu turut menyatakan burger yang dibeli berharga RM28 dari sebuah restoran makanan segera lebih berbaloi dari nasi lemak berkenaan.
Perkara itu secara tidak langsung telah menarik perhatian orang ramai khususnya dari Malaysia yang tidak bersetuju dengan apa yang diluahkan oleh pelancong wanita tersebut selain menyatakan ia tidak seteruk seperti yang disifatkan.
Satu yang pasti makanan boleh menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.