fbpx
Now Reading
Kerbau Terpaksa Jalani Pembedahan Selepas Makan Rantai Emas Milik Tuannya

Kerbau Terpaksa Jalani Pembedahan Selepas Makan Rantai Emas Milik Tuannya

Rantai emas yang ditelan oleh kerbau berkenaan adalah hadiah perkahwinan pemberian dari suami wanita berkenaan dan nilainya di pasaran dianggarkan sekitar RM9,527.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Aksesori barangan kemas yang diperbuat daripada emas sering menjadi idaman kebanyakan wanita.

Bukan sahaja ia cantik apabila dipakai, tetapi segelintir merasakan ia adalah satu bentuk pelaburan di masa akan datang kerana emas mempunyai nilai yang tersendiri.

Malah saban hari, harga emas di pasaran kian meningkat membuatkan nilai barangan itu melonjak sekaligus dapat dijual lebih mahal dari harga asal ia dibeli.

Justeru kehilangannya pasti akan membuatkan ramai bersedih khususnya wanita.

Kerbau terpaksa dibedah kerana telah rantai emas

Baru-baru ini, seekor kerbau di Washim, Maharashtra, India terpaksa menjalani pembedahan selepas dipercayai menelan seutas rantai emas milik tuannya.

Perkara itu berlaku kerana pemiliknya tanpa sengaja meletakkan rantai berkenaan di atas sebuah pinggan yang dihidangkan bersama makanan haiwan terbabit.

Wanita yang juga merupakan seorang penjaga kerbau, pada mulanya telah menanggalkan rantai leher tersebut sebelum mandi dan secara tidak sengaja telah meletakkannya di atas pinggan yang penuh dengan soya dan kulit kacang tanah.

Rantai emas yang diletak dalam pinggan telah dimakan kerbau

Memetik laporan The Thaiger, sebaik sahaja selesai mandi dan membasuh pakaian, dia kemudian memberikan pinggan makanan terbabit kepada kerbau sebelum melakukan pekerjaan rumah yang lain.

Namun selang beberapa jam kemudian, dia mula teringat akan rantai yang diletakkan pada pinggan terbabit. Dia kemudian segera memeriksanya dan mendapati pinggan itu kosong.

Situasi itu jelas menunjukkan rantai berkenaan telah dimakan oleh kerbau berkenaan bersama makanannya.

Rantai emas bernilai RM9,527

Rantai leher itu merupakan hadiah perkahwinan yang diberi oleh suaminya dan dianggarkan bernilai 150,000 rupee (RM9,527) di pasaran terkini.

Namun nilai sentimental pemberian itu adalah suatu yang tidak ternilai.

Disebabkan tidak mempunyai pilihan lain, dia kemudian memaklumkan kepada suaminya berhubung kejadian tersebut dan kemudian segera menghubungi doktor haiwan mengenainya.

Doktor kemudian menjalankan pemeriksaan dengan menggunakan pengesan logam dan ternyata rantai emas terbabit dapat dikesan berada dalam perut kerbau berkenaan.

Jalani pembedahan selama dua jam

Oleh itu, kerbau itu terpaksa dibedah menjalani pembedahan selama dua jam pada keesokan harinya. Selepas pembedahan dijalankan kerbau itu telah menerima sebanyak 60 jahitan bagi mengeluarkan rantai terbabit, lapor Sanook.

Perkara itu kemudian dikongsikan di media sosial sehingga menjadi perhatian orang ramai yang kemudian ketawa selain ada segelintir darinya meluahkan rasa simpati terhadap nasib kerbau berkenaan.

Ini kerana, haiwan itu bukanlah punca kepada perkara itu berlaku namun dia pula yang terpaksa menanggung sakitnya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.