Ini Asal Usul & Kisah Sebalik Perayaan Hari Deepavali
Mengikut kepercayaan Hindu, setelah berjaya memenangi perang dan menyelamatkan isterinya, Maharaja Rama mahu pulang semula ke Ayodhya namun jalan yang terlalu gelap menyebabkan dia dan Maharani Sita berhadapan dengan kesukaran.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui pada hari Ahad (12 November) ini, masyarakat Hindu di Malaysia akan menyambut perayaan Deepavali.
Perayaan yang turut dikenali sebagai Diwali atau Pesta Cahaya lazimnya disambut sekitar bulan Oktober atau November pada setiap tahun.
Dalam kepercayaan agama Hindu, cahaya dianggap sebagai satu unsur yang amat penting dalam kehidupan.
Oleh sebab itu, perkataan Deepavali itu sendiri adalah gabungan daripada bahasa Sankrit iaitu perkataan ‘Deepam’ yang membawa maksud lampu atau cahaya manakala ‘Vali’ bermakna arah atau jalan.
Sejarah Perayaan Hari Deepavali
Pasti ramai yang tertanya-tanya mengenai sejarah sambutan hari Deepavali ini bukan?
Mengikut sejarah, perayaan terbesar agama Hindu ini sering dikaitkan dengan kisah Dewa yang dikenali sebagai Dewa atau Maharaja Rama.
Beliau yang merupakan pemerintah negeri Ayodhya bersama isteri Maharani Sita serta adiknya Lakshmana yang juga merupakan Ketua Perang pulang semula ke negeri mereka setelah 14 tahun hidup dalam buangan.
Kepulangan beliau disambut dengan peperangan yang amat hebat namun dia berjaya membunuh raja Raksasa Ravana yang sebelum itu menculik Maharani Sita.
Dalam peperangan tersebut, Maharaja Rama dibantu oleh Raja Monyet yang dikenali sebagai Hanuman.
Setelah berjaya memenangi perang dan menyelamatkan isterinya, pasangan ini mahu pulang ke Ayodhya namun jalan yang terlalu gelap menyebabkan mereka berhadapan dengan kesukaran.
Ini kerana pada hari kepulangan mereka, kegelapan berada pada tahap tertinggi.
Masyarakat Hindu Hidupkan Pelita Bantu Dewa Rama Pulang
Bagi membantu Rama dan Sita pulang, masyarakat Hindu telah mengambil inisiatif dengan menyalakan lampu pelita sepanjang jalan bagi menerangi laluan pasangan tersebut.
Begitulah kisah di sebalik perayaan hari Deepavali. Ia menjadi satu perayaan buat penganut agama Hindu sebagai tanda kemenangan kuasa baik terhadap kuasa yang jahat dan dibuktikan dalam cahaya yang menerangi kegelapan.
Sambutan Berbeza Mengikut Lokasi Di India
Berdasarkan hikayat yang terkandung dalam kitab Ramayana, Maharaja Rama dikatakan bergerak dari India Selatan menuju ke kerajaannya yang terletak di India Utara.
Oleh sebab itu, sambutan perayaan ini adalah berbeza mengikut lokasi di India. Lazimnya, kawasan India Selatan akan menyambut sehari lebih awal manakala bahagian India Utara akan menyambut pada hari terakhir kalendar Vikram.
Turut Disambut Sempena Memperingati Peristiwa Lain
Sambutan Deepavali juga turut disambut sempena mengingati peristiwa bersejarah penting yang lain. Antaranya seperti ‘Naraka Chaturdasi’ yang disambut dua hari sebelum Deepavali.
Ia merupakan peristiwa bagi mengenang keinsafan Narakasura yang merupakan raksasa yang bijak dan berkuasa namun menjadi takbur dan menjadi penyebab huru-hara.
Dia akhirnya mati di tangan isteri Dewi Krishna. Narakasura sempat memohon maaf dan meminta rakyat agar mengambil iktibar dari kisah hidupnya.
Walaupun pelbagai versi yang mengaitkan sejarah dengan kewujudan perayaan Deepavali, apa yang penting adalah penganut agama Hindu menganggap cahaya sebagai simbol kebaikan.
Oleh sebab itu perayaan ini juga dikenali sebagai pesta cahaya di mana mereka akan menghias kediaman dengan pelita kecil yang dikenali sebagai ‘diyas’.
Meskipun umat Islam tidak boleh merayakan hari Deepavali memandangkan ia perayaan agama, namun kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya mengetahui serba sedikit tentang perayaan rakyat senegara dengan kita.
Malah, Mufti Perlis pernah mengeluarkan kenyataan kita seharusnya menonjolkan imej Islam yang harmoni dan baik. Namun, dalam masa yang sama terus menjaga benteng akidah kita.
Jadi buat rakan pembaca kami yang beragama Hindu, selamat menyambut hari Deepavali kami ucapkan.