fbpx
Now Reading
Ini 5 Perkara Yang Wajib Dilakukan Penganut Hindu Semasa Sambut Perayaan Deepavali

Ini 5 Perkara Yang Wajib Dilakukan Penganut Hindu Semasa Sambut Perayaan Deepavali

Sebut saja pasal Deepavali, pasti kebanyakan rakyat Malaysia terbayang makanan seperti muruku dan tosai atau hiasan kolam, namun banyak lagi perkara yang wajib dilakukan semasa perayaan terbabit.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Di Malaysia, pelbagai jenis perayaan yang disambut pada setiap tahun memandangkan negara ini dihuni oleh pelbagai jenis agama, bangsa, dan budaya.

Jika sebelum ini kita sudahpun menyambut Tahun Baru Cina, Hari Raya Puasa & Haji, maka bulan ini pula kita akan menyambut perayaan Deepavali atau lebih tepatnya pada Ahad ini (12 November).

Sebut sahaja perayaan Deepavali, pasti kebanyakan rakyat Malaysia sudah mula membayangkan makanan seperti muruku dan tosai atau hiasan kolam yang akan memenuhi setiap rumah serta pusat membeli-belah.

Pun begitu, sebenarnya masih banyak lagi perkara lain yang dilakukan oleh penganut Hindu di Malaysia semasa menyambut perayaan ‘Pesta Cahaya’ ini.

Berikut kami kongsikan 5 perkara wajib dilakukan semasa menyambut perayaan Deepavali menurut.

#1 Sembahyang Untuk Nenek Moyang

Bagi penganut agama Hindu yang menyambut Deepavali, mereka akan mengadakan upacara sembahyang pada malam sebelum perayaan itu.

Upacara sembahyang kecil tersebut akan dilaksanakan di rumah masing-masing dan dilakukan dalam kalangan keluarga terdekat sahaja.

Ia dilakukan bagi memperingati datuk, nenek dan moyang yang sudah meninggal dunia. Mereka akan menyediakan pelbagai jenis makanan berbentuk sayur-sayuran yang akan dihidangkan di hadapan gambar ahli keluarga yang telah meninggal dunia.

Upacara sembahyang ini wajib dilakukan pada setiap tahun bagi memperingati ahli keluarga yang telah meninggalkan mereka.

Foto: Malaymail

#2 Mandi Minyak

Selain sembahyang untuk nenek moyang, mandi minyak juga merupakan antara perkara yang wajib dilakukan semasa menyambut perayaan Deepavali.

Mengikut tradisi, perayaan Deepavali atau Diwali itu akan dimulakan dengan upacara mandi minyak sebelum matahari terbit.

Adat tersebut yang menggunakan minyak bijan akan dimulakan dengan ahli keluarga paling tua yang akan menyapu minyak tersebut ke atas kepala setiap ahli keluarga yang lain.

Menurut laman Getaran, upacara ini merupakan satu kepercayaan yang disamakan dengan mandi suci di Sungai Gangga yang bertujuan bagi membersihkan diri daripada segala kejahatan dan sifat dengki.

Selesai upacara tersebut, lazimnya, kebanyakan penganut Hindu akan ke kuil untuk melaksanakan upacara sembahyang secara biasa dan ada juga di kalangan mereka yang bersembahyang di rumah masing-masing.

#3 Kolam & Pelita

Selain masyarakat Melayu yang penggunakan pelita ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri, tahukah anda bahawa perayaan Deepavali juga menggunakan pelita bersama hiasan kolam.

Hiasan kolam merupakan antara perkara lazim dilakukan oleh penganut agama Hindu ketika menyambut perayaan Deepavali.

Namun apa yang lebih istimewa, ketika Deepavali, hiasan kolam akan digabungkan dengan lampu pelita (vilakku) sebagai hiasan utama di depan pintu.

Foto: Freepik

Sebagai info, kolam dihasilkan dengan hanya menggunakan tepung beras, kapur, serbuk kapur, serbuk batu atau serbuk berwarna semulajadi atau sintetik.

Sebab utama hiasan kolam dihasilkan ialah untuk menarik kehadiran serangga dan burung di sekitar rumah. Agama Hindu menggalakkan penganutnya untuk memberi makanan kepada haiwan, jadi apabila kolam dibuat menggunakan tepung beras atau beras berwarna, ia merupakan sumber makanan untuk haiwan dengan serangga tersebut.

Selain itu, pelita pula merupakan simbolik bagi penganut Hindu yang melambangkan cahaya. Lihat sahaja perkataan Deepavali itu sendiri membawa maksud ‘pesta cahaya’, jadi tidak lengkap perayaan ini tanpa pelita.

#4 Manisan

Deepavali pun sama juga seperti Tahun Baru Cina dan Hari Raya di mana saudara mara atau rakan-rakan akan saling kunjung mengunjung untuk bertanya khabar.

Foto: Malaymail

Jadi tidak lengkap kalau tiada juadah seperti manisan yang akan dihidangkan buat para tetamu yang berkunjung ke rumah.

Namun, tahukah anda selain muruku terdapat beberapa manisan lain yang sinonim dengan perayaan Deepavali seperti laadu dan nei urundai (ghee ball).

#5 Restu Ibu Bapa

Jika di Hari Raya umat Islam akan bersalam-salaman dengan ibu bapa untuk memohon ampun maaf, begitu juga yang dilakukan oleh penganut Hindu semasa menyambut perayaan Deepavali.

Semasa Deepavali, penyamput perayaan ini wajib meminta restu daripada ibu bapa semasa hari yang dianggap mulia itu kerana menginginkan keredaan Tuhan.

Ia wajar dilakukan kerana pengorbanan ibu bapa dalam membesar dan mendidik anak-anak adalah sesuatu perkara yang tinggi nilainya, bahkan tidak dapat dibayar dengan wang ringgit.

Meskipun umat Islam tidak boleh merayakan hari Deepavali memandangkan ia perayaan agama, namun kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya mengetahui serba sedikit tentang perayaan rakyat senegara dengan kita.

Malah, Mufti Perlis pernah mengeluarkan kenyataan kita seharusnya menonjolkan imej Islam yang harmoni dan baik. Namun, dalam masa yang sama terus menjaga benteng akidah kita.

Jadi buat rakan pembaca kami yang beragama Hindu, selamat menyambut hari Deepavali kami ucapkan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.